Peniaga harap pemborong patuhi harga siling - Utusan Malaysia

Peniaga harap pemborong patuhi harga siling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Para peniaga di Pasar Besar Alor Setar, di sini berharap pemborong mematuhi harga siling yang ditetapkan menjelang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021, hari ini.

Rata-rata peniaga yang ditemui memberitahu, mereka tidak mempunyai masalah mengikut harga siling yang ditetapkan kementerian berkaitan jika memperoleh harga lebih murah daripada pemborong.

Malah, seorang peniaga ayam, Syamin Abdul Aziz, 49, berkata, pihaknya menyambut baik langkah kerajaan menetapkan harga siling tersebut sehingga 20 Mei ini.

“Sekiranya pemborong boleh bagi harga murah, Insya-Allah kita boleh jual harga murah. Masalahnya sekarang pemborong bagi harga tinggi terpaksa jual harga tinggi. Sejak hari pertama puasa sudah enam kali naik dan setiap kali naik 30 sen sekilogram. Kalau mereka turunkan tak ada masalah.

“Pemborong pemain pertama kalau mereka turun kita akan turun. Kita pun tak tahan nak jual mahal, pelanggan memang mengeluh juga, kami untung tak banyak takkan nak jual RM11,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini, semalam.

Katanya, kebanyakan peniaga ayam terpaksa menjual ayam standard RM8.50 hingga RM9 berbanding RM6.90 sekilogram sebelum Ramadan kerana tekanan harga daripada pemborong.

“Kalau pemborong tolak harga tinggi takkan kita nak jual rendah. Kena tanggung kos lain juga penyelenggaraan termasuk pekerja.

“Kita pun berharap pemborong turunkan harga, kasihan kepada peniaga makanan di bazar mereka pun tak boleh naikkan harga tinggi,” katanya.

Sementara itu penjual daging tempatan, Zulkifli Saad, 54, berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memantau kenaikan harga ini dalam kalangan pemborong dan penternak.

“Pemborong tolak sekarang pun RM35 setiap kilogram, takkan kita nak jual RM34 pada harga siling rugilah. Kalau kerajaan boleh pasti pemborong ikut harga siling mereka kami tidak ada masalah.

“Sepanjang puasa ini sudah dua kali pemborong naikkan harga daging tempatan dulu RM34 sahaja sekarang RM38 dan mungkin akan jadi RM40 dua minggu sebelum hari raya.

“Bagus juga kalau kerajaan sudah kawal awal-awal, jadi kami berharap pemborong akan ikut harga siling mereka seterusnya kami dapat menjual pada harga lebih murah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya