Peniaga dituduh rasuah penjawat awam - Utusan Malaysia

Peniaga dituduh rasuah penjawat awam

LEE Soon Teck hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan memberi rasuah berjumlah RM30,150 kepada seorang penjawat awam tiga tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah berjumlah RM30,150 kepada seorang penjawat awam, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Lee Soon Teck, 52, bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai kepada Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Muhammad Fithry Hassan.

Ia sebagai dorongan untuk melepaskan tertuduh daripada diambil tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dia didakwa melakukan kesalahan di sebuah premis di Batu 6, Jalan Baru, Parit Buntar, kira-kira pukul 10.30 pagi pada 8 Oktober 2018.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, pendakwaan kemukakan pertuduhan sama mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak sampai 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM60,000 beserta syarat tambahan tertuduh diminta melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran di Taiping.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Irfan Mohd. Arshad memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah kerana perlu tertuduh perlu menyara isteri dan empat anaknya berusia 23 hingga 14 tahun yang masih belajar.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan ke pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Kes disebut semula pada 22 Julai ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya