ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah memberi tempoh tiga hari kepada peniaga barang basah untuk mengikut harga siling ditetapkan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 yang bermula hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim, hasil pemantauan mendapati 90 peratus daripada peniaga di Pasar Besar Alor Setar di sini mematuhi harga siling ditetapkan apabila dikuat kuasakan sehingga 20 Mei ini.
“Kepada mereka yang tidak mematuhi harga siling ditetapkan kita bagi tempoh tiga hari bermula hari ini memandangkan ada yang kata masih gunakan stok lama. Pemeriksaan hari ini memberi sedikit ruang kepada pihak peniaga sehingga mereka dapat menyelaraskan harga mengikut skim ditetapkan.
“Keseluruhan, kita nampak positif (pelaksanaan skim) walau bagaimanapun pihak penguat kuasa KPDNHEP akan melakukan pemantauan di seluruh negeri ini untuk pastikan harga tidak melambung lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 di Pasar Besar Alor Setar di sini hari ini. Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak.
Katanya, kebanyakan peniaga barang basah utama seperti ayam di pasar tersebut menurun harga daripada RM9.50 setiap kilogram (kg) semalam kepada RM7.90 kg, sementara daging tempatan pula daripada RM38 kepada RM34 kg.
Dalam pada itu katanya, KPDNHEP Kedah mengeluarkan lima notis ke atas penternak dan pemborong ayam di negeri ini ekoran kenaikan harga luar biasa.
Katanya, notis berkenaan melibatkan dua penternak dan dua pemborong utama di negeri ini dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 menerusi Ops Catut 8.0 bagi mengawal kenaikan harga yang tidak munasabah.
“Notis bertulis ini dikeluarkan sejak 15 April lalu dan sekiranya didapati bersalah melakukan pencatutan atau ambil keuntungan berlebihan, tindakan akan dikenakan ke atas mereka,” katanya.
Sementara itu menurut peniaga ayam, Wan Ahmad Fauzi Wan Ismail, 50, langkah kerajaan menguatkuasakan (SHMMP) 2021 berjaya mengawal kenaikan harga barang itu di peringkat pemborong dan penternak.
“Hari ini, kami mampu menjual ayam pada harga RM7.90 sekilogram berbanding RM9.50 sekilogram semalam kerana pemborong menjual pada harga lebih rendah iaitu RM7.
“Kami terpaksa menjual tinggi sebelum ini kerana harga yang ditolak pemborong lebih RM8 sekilogram apabila mereka memberi pelbagai alasan kos yang meningkat termasuk dedak semakin mahal dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, program berkenaan dicemari dengan tindakan seorang peniaga daging yang melakukan provokasi dipercayai tidak berpuas hati dengan pelaksanaan SHMMP 2021.
Tindakan provokasi itu dipercayai dilakukan ekoran mereka menerima tekanan harga daripada pemborong dan penternak.
Bagaimanapun, ketegangan tersebut kemudian dileraikan oleh beberapa pegawai KPDNHEP. – UTUSAN ONLINE