Peniaga di Negeri Sembilan patuh SHMMP 2021 - Utusan Malaysia

Peniaga di Negeri Sembilan patuh SHMMP 2021

AIN Arjuna Aziz Zaman (dua,dari kanan) bersama S.Veerapan (dua, kiri) ketika membuat pemantauan harga sempena Pelancaran SHMMP Hari Raya Puasa 2021 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah pasar raya di Lukut, Port Dickson, hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tiada sebarang aduan diterima berhubung peniaga di negeri ini yang ingkar dan tidak mengikuti harga Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 sejak ia bermula di seluruh negara semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman malah berkata, hasil pemeriksaan pihaknya juga mendapati kesemua peniaga yang terlibat juga patuh dengan harga yang ditetapkan menerusi skim harga tersebut.

“Setakat ini di Negeri Sembilan, semua peniaga mengikut harga kita telah tetapkan itu. Berdasarkan pemeriksaan juga kami mendapati bekalan ada dan mencukupi.

“Kami masih tidak menerima apa-apa laporan mengenai bekalan berkurangan ataupun ada peniaga yang enggan menjual dengan harga yang ditetapkan itu. Sekiranya ada peniaga yang menjual barangan melebihi paras harga itu, mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Skim Harga Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah pasar raya di Lukut dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan.

Sementara itu, menurut Ain Arjuna lagi, bermula 15 April lalu sehingga ke hari ini, tindakan penguatkuasaan berkenaan ayam telah dikenakan terhadap empat orang pembekal.

“Notis bertulis itu dikeluarkan berdasarkan Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Antipencatutan 2011.

“Kesemua notis yang diserahkan akan diteliti dan dianalisis di dalam siasatan lanjut setelah menerima makluman balas daripada pihak syarikat berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN