Peniaga degil, tidak peduli harga SHMMP - Utusan Malaysia

Peniaga degil, tidak peduli harga SHMMP

SENARAI harga lembu tempatan yang tidak mematuhi SHMMP di Pasar Borong Kampung Atap, Jalan Sekerat, Sungai Petani, semalam. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Peniaga ayam dan daging di Jitra serta Sungai Petani didapati berdegil dan tidak mempeduli harga yang disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 berkuat kuasa semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Jitra mendapati, ayam standard dijual pada harga RM9 sekilogram manakala daging tempatan dijual RM40 sekilogram.

Harga ayam dan daging tempatan itu yang dijual semalam sama dengan harga sejak beberapa hari lalu.

Harga ayam standard mengikut SHMMP 2021 ialah RM7.90 sekilogram manakala harga daging tempatan pula RM34 sekilogram.

Peniaga ayam dan daging terbabit memberi alasan mereka masih menerima harga yang tinggi daripada pemborong walaupun SHMMP berkuat kuasa semalam.

Seorang pengguna, Alias Ismail, 47, dari Taman Tunku Sarina di sini berkata, dia terkejut mendapati harga ayam dan daging tempatan masih sama seperti beberapa hari lalu dan peniaga-peniaga lain juga tidak mematuhi harga yang ditetapkan dalam SHMMP.

“Sepatutnya semua peniaga perlu menjual barangan keperluan ini mengikut harga SHMMP tetapi mereka didapati degil dan tidak mahu mematuhi harga baharu itu,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi pejabat KPDNHEP Kubang Pasu untuk memaklumkan perkara tersebut pada pukul 9.30 pagi.

“Pegawai KPDNHEP Kubang Pasu itu menyatakan mereka masih bermesyuarat mengenai pelaksanaan SHMMP dan belum melakukan pemantauan harga di pasar tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Borong Kampung Atap, Jalan Sekerat di Sungai Petani juga mendapati peniaga tidak mempedulikan harga ditetapkan dalam SHMMP apabila menjual ayam standard dijual dengan harga RM8.30 hingga RM9 sekilogram.

Harga daging lembu tempatan pula dijual RM36 hingga RM38 sekilogram.

Seorang peniaga yang mahu dikenali Atan berkata, peniaga di pasar itu masih menjual ayam dengan harga lebih tinggi berbanding SHMMP kerana mengikut harga diperoleh daripada pemborong.

“Kami tiada pilihan kerana kalau mengikut harga SHMMP, keuntungan yang diperoleh sedikit memandangkan bekalan yang diterima tinggi harganya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN