Peniaga bazar, patuhi juga SOP kebersihan kendali makanan - Utusan Malaysia

Peniaga bazar, patuhi juga SOP kebersihan kendali makanan

DR. Surinah Asan (kiri) melakukan pemantauan terhadap tahap pematuhan SOP kepada para peniaga dan pembeli di Bazar Ramadan di Stadium Mini Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Ketika ramai yang menitikberatkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa mengunjungi bazar Ramadan bagi mendapatkan juadah untuk berbuka puasa termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pontian pula, tidak lupa mahu mengingatkan para peniaga agar turut mematuhi aspek pengendalian makanan yang disediakan supaya sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat dimakan orang ramai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Kesihatan Kanan PKD Pontian, Dr. Surinah Asan berkata, di samping mematuhi SOP ditetapkan untuk pengoperasian bazar oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kualiti makanan juga merupakan perkara penting yang turut berkait dengan kesihatan dan keselamatan pengguna.

“Mereka perlu memastikan kawasan perniagaan bersih dan mempunyai kuku yang pendek serta bersih, memakai apron, pelitup muka, tidak memakai cincin, menutup kepala dan mempamerkan lesen sijil suntikan tifoid.

“Semua ini sangat penting bagi memastikan kebersihan makanan terjamin dari segi pengendalian sehingga pembungkusan makanan untuk para pelanggan yang datang membeli,” katanya selepas meninjau Bazar Ramadan di Stadium Mini Pontian, semalam.

Bagi tahun ini, sebanyak 10 lokasi dengan 443 petak jualan di Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi di daerah Pontian dengan 150 gerai di Stadium Mini Pontian.

Antara lokasi tumpuan lain pengunjung termasuklah Bazar Ramadan di Dataran Datuk Jalok, Benut sebanyak 81 petak jualan dan tanah rezab Pekan Nanas yang menempatkan 65 petak jualan.

Sementara itu, Dr. Surinah berkata, berdasarkan kepada pemantauan yang dilakukan baru-baru ini, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan sama ada di pihak penganjur mahupun peniaga bagi memastikan kelancaran perjalanan bazar tersebut.

Jelas beliau, operasi pemantauan ini dijalankan bersama oleh Unit Inspektorat dan Perundangan, PKD Pontian serta Unit Penguatkuasa Majlis Daerah Pontian (MDP) yang turut akan diadakan di lokasi bazar yang lain.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP dengan mengelakkan sentuhan fizikal seperti berjabat tangan atau berlaga tangan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 di Bazar Ramadan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN