Peniaga ayam dalam dilema - Utusan Malaysia

Peniaga ayam dalam dilema

SHAHROM Mohammad (kanan) ketika ditemui di gerainya di Pasar Balok di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/KHAIRULMIZAN YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Rata-rata peniaga bersedia dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 yang dilaksanakan lebih awal tahun ini kecuali peniaga ayam yang masih dalam dilema.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa gerai peniaga di sekitar bandar ini mendapati, hanya peniaga ayam resah dengan skim berkenaan kerana mereka kini berdepan dengan krisis harga.

Peniaga ayam, Shahrom Mohamad, 40, berkata, dia kini dalam dilema berikutan harga ayam yang diperoleh daripada pemborong naik mendadak sejak awal Ramadan menyebabkan mereka terpaksa menjual dengan harga mahal.

“Harga ayam standard yang diperoleh daripada pemborong sebanyak RM8.70 sekilogram jadi kami terpaksa jual dengan harga RM10 sekilogram dan untuk esok (hari ini), kami bergantung kepada harga ditawarkan pemborong.

“Jika stok ayam yang diambil hari ini tidak dapat dijual habis, esok kami terpaksa jual dengan harga lebih rendah dari modal dan sudah tentu akan menanggung kerugian,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Shahrom berkata, dia mengambil stok antara 20 hingga 40 ekor ayam sahaja untuk jualan harian dan untung diperoleh tidak banyak serta berharap kerajaan dapat mempertimbangkan harga yang lebih berpatutan.

Penjual ikan, Wan Noraini Wan Aziz, 63, pula berkata, dia tidak berdepan dengan sebarang masalah dengan harga yang ditetapkan mengikut SHMMP kerana tidak jauh beza dengan harga jualan asal.

“Kami tidak ada masalah kerana hanya tiga jenis ikan yang tersenarai dalam skim terbabit dan harga yang kami jual sebelum ini pun memang seperti harga yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya