Peniaga akui berdepan kerugian patuhi SHMMP - Utusan Malaysia

Peniaga akui berdepan kerugian patuhi SHMMP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pahit untuk ditelan. Itu hakikat terpaksa dihadapi peniaga termasuk di daerah ini yang mengakui mereka berdepan kerugian ekoran terpaksa mematuhi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula semalam.

Penjual daging di Pasar Awam Maharani, Shazzatul Nahaqda, 26 berkata, harga jualan yang terpaksa diturunkan pada hari pertama itu sukar dilaksanakan gara-gara tindakan pembekal yang menetapkan harga sesuka hati.

“Pembekal jual kepada kita pada harga yang langsung tidak munasabah, semuanya lebih tinggi daripada harga kawalan. Habis, bagaimana peniaga nak untung?

“Kalau daging tempatan perlu dijual pada harga RM34, tapi pembekal mengenakan harga lebih tinggi daripada itu, macam mana pula kami nak ‘hidup’,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi peniaga daging di pasar berkenaan yang mahu dikenali sebagai Baharom meluahkan kekesalan kepada pihak berkaitan yang tidak menjalankan pemantauan bagi kawalan harga dari peringkat atasan.

“Golongan peniaga di pasar ini terpaksa akur sebab kita berada di bawah kawasan Bandar Diraja, kita nak jaga nama baik daerah ini. Namun kena adil untuk kedua-dua pihak, peniaga patuh pelaksanaan harga kawalan, pembekal juga kena jual harga munasabah.

“Macam harga daging lembu import kita beli dari pembekal RM18, tapi kena jual RM20, hanya RM2 untung diperolehi. Itu tak kira daging lain yang terpaksa jual lebih rendah meskipun ambil dari pembekal dengan harga tinggi.

“Kebanyakan peniaga di sini tak ada duit dah tapi terpaksa jual untuk stabilkan ekonomi mereka. Padahal kami pun berniaga tak pulang modal,” katanya.

Sementara itu, tinjauan ke sekitar pasar tersebut mendapati kesemua peniaga mengawal harga mengikut saranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang dilaksanakan bermula hari ini.

Namun, mereka berharap agar kerajaan dapat memantau harga yang ditetapkan bermula daripada pemborong dan pembekal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya