Pengusaha restoran nasi kandar harap dapat beroperasi sehingga waktu sahur - Utusan Malaysia

Pengusaha restoran nasi kandar harap dapat beroperasi sehingga waktu sahur

MOHD. RIZWAN ABDUL GHAFOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Peniaga-peniaga makanan terutama pengusaha restoran nasi kandar di negeri ini buntu memikirkan sama ada restoran mereka dibenarkan beroperasi ketika waktu sahur pada Ramadan kali ini atau pun tidak.

Presiden Komuniti India Muslim Malaysia (IMCom), Mohd. Rizwan Abdul Ghafoor berkata, meskipun dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut Ramadan, mereka masih tidak pasti sama ada perniagaan restoran dibenarkan beroperasi sehingga waktu sahur.

“Semua pengusaha restoran nasi kandar masih menunggu pekeliling atau garis panduan daripada kerajaan mengenai hal ini.

“Terdapat permintaan daripada pelanggan supaya restoran beroperasi ketika sahur, namun, sehingga kini, tiada makluman mengenai hal ini diterima oleh peniaga,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta kerajaan memberi kelonggaran untuk melanjutkan waktu operasi perniagaan sepanjang Ramadan ini.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia bagi membolehkan pelanggan bersahur atau membeli juadah bersahur di semua restoran dengan mudah tanpa had masa sehingga tengah malam sahaja.

Menurut Mohd. Rizwan, pihaknya mewakili pengusaha restoran nasi kandar di negeri ini memohon kebenaran supaya waktu operasi pada waktu sahur dibenarkan sehingga 5.30 pagi.

“Kerajaan sebelum ini telah memberi kebenaran untuk restoran nasi kandar beroperasi sehingga 12.30 tengah malam, cuma, sepanjang Ramadan ini, kami mohon kebenaran supaya dapat beroperasi sehingga waktu sahur untuk memudahkan orang ramai membeli makanan,” katanya.

Tambah beliau, cadangan itu juga bagi membantu petugas barisan hadapan terutama yang bertugas pada waktu malam untuk bersahur jika menghadapi kesulitan mendapatkan makanan.

“Peniaga akan memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan sebaik mungkin memandangkan negara masih lagi berdepan penularan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha Restoran Ramzan, Naina Mohamed berkata, dia amat berharap kerajaan membenarkan operasi kedai makan dilanjutkan sehingga waktu sahur.

“Ramai pelanggan bertanya sama ada kami akan buka sehingga sahur, saya sendiri tiada jawapan kerana semuanya bergantung kepada kebenaran kerajaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya