Penggiat industri pelancongan perlu diberi keutamaan penerima suntikan vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Penggiat industri pelancongan perlu diberi keutamaan penerima suntikan vaksin Covid-19

MOHD. Sharkar Shamsudin (tengah, baju biru tua) dan Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali (kiri) meninjau gerai ejen pelancongan di perkarangan Menara 188 Kuantan di Kuantan, Pahang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Para penggiat, pengusaha dan operator industri pelancongan perlu diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ini kerana mereka yang terlibat dalam industri tersebut boleh memberikan keyakinan kepada pelancong untuk mengunjungi lokasi-lokasi pelancongan atau untuk bermalam serta bergaul dengan mereka tanpa rasa bimbang dijangkiti wabak berkenaan.

Beliau berkata, sebagai sektor ketiga terbesar yang menyumbangkan pulangan ekonomi kepada negeri dan negara, industri pelancongan perlu kembali dirancakkan seperti mana sebelum pandemik itu melanda.

“Negeri ini, misalnya, menerima kemerosotan kunjungan pelancong disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19 iaitu dianggarkan kira-kira 50 peratus.

“Namun, kerajaan negeri komited untuk membaik pulih keadaan ini dengan giat mempromosikan produk-produk pelancongan oleh kerana kita mempunyai pelbagai bentuk dan keunikan tersendiri yang menjadi daya tarikan kepada pelancong luar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian ‘Inilah Pahang, Rangkaian Perniagaan Di puncak’ di Perkarangan Menara 188 di sini, semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Pelancongan Pahang, Datuk Seri Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali; Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Datuk Ishak Mokhtar serta pengurusan dan ahli persatuan persatuan pengusaha pelancongan di negeri ini.

Mohd. Sharkar berkata, negeri ini mempunyai pelbagai produk pelancongan termasuk tanah tinggi, pantai sepanjang 270 kilometer, hutan hujan tropika yang terpelihara, penginapan yang selesa, kawasan rekreasi, pulau dan aktiviti sukan di laut, sungai serta darat.

“Namun, ia akan menjadi tidak bermakna dari sudut penjanaan ekonomi sekiranya tidak mendapat kunjungan para pelancong.

“Jika operator dan pengusaha pelancongan ini menerima suntikan vaksin, maka, ia akan mewujudkan keyakinan yang tinggi kepada para pelancong untuk berkunjung tanpa ada rasa khuatir akan penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata, keadaan seperti itu pasti akan merancakkan aktiviti pelancongan dan penjanaan ekonomi setempat dapat dipulihkan sekali gus pulangan ekonomi untuk negeri dan negara ini.

“Bagaimanapun syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan perlu dipatuhi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya