Pengasuh taska bebas tuduhan aniaya bayi lima bulan - Utusan Malaysia

Pengasuh taska bebas tuduhan aniaya bayi lima bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pengasuh daripada pertuduhan menganiaya seorang bayi lelaki berusia lima bulan sehingga lebam di paha kiri dan luka kecil di tangan kanan, tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi membebaskan Noraini Mohamad, 46, tanpa memanggilnya membela diri terhadap tuduhan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Taska De Sayang, Kementerian Luar Negeri, Wisma Putra, Putrajaya di antara pukul 7.30 pagi dan 5.30 petang, 7 Januari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Dalam keputusannya, Izralizam berkata, pihak pendakwaan gagal memenuhi elemen keterangan mengikut keadaan kerana bayi itu pulang dari taska tersebut pukul 5.30 petang sementara ibu bapa mangsa yang merupakan saksi pertama dan kedua hanya menyedari
kecederaan itu pada pukul 6 pagi keesokannya.

Mahkamah berpendapat, ibu bapa mangsa telah menukar lampinnya pada malam kejadian (7 Januari), namun mereka tidak menyedari kesan lebam pada paha mangsa.

Ujar Izralizam, ini bermaksud kecederaan mungkin berlaku antara pukul 5.30 petang hingga 6 pagi (keesokannya) yang mana pada ketika itu mangsa berada dalam jagaan ibu bapanya.

Izralizam juga berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan sebarang perlakuan tertuduh mencederakan fizikal mangsa.

Oleh yang demikian, mahkamah memutuskan agar Noraini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut manakala wang jaminan sebanyak RM3,000 dikembalikan kepadanya.

Seramai enam saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang berlangsung pada 1, 2 dan 23 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan manakala tertuduh diwakili peguam Navind Kumar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya