Penganjur Musc Drag Racing akan dipanggil minggu depan - Utusan Malaysia

Penganjur Musc Drag Racing akan dipanggil minggu depan

REEZAL MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Penganjur aktiviti Musc Drag Racing di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) malam semalam yang mencetuskan kontroversi sehingga dikompaun polis akan dipanggil minggu depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau telah mengarahkan pengurusan kanan kementerian itu, wakil SIC, Pesuruhjaya Sukan dan penganjur aktiviti tersebut bertemu bagi mendapatkan gambaran sebenar dan membincangkan isu tersebut.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa kesal dengan insiden pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika penganjuran aktiviti itu sehingga mencetuskan rasa kurang senang banyak pihak selain turut ditularkan dalam media sosial.

Ujarnya, insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana bukan sesuatu yang mudah bagi KBS meyakinkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya membenarkan penganjuran sesuatu kejohanan atau aktiviti sukan ketika musim pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, beliau berharap insiden tersebut dijadikan pengajaran kepada penganjur atau mana-mana pihak lain yang mahu menganjurkan program sukan selepas ini.

“Saya menghargai sikap penganjur yang sanggup tampil ke depan serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden tersebut.

“Namun, kita tidak mahu insiden seperti ini berulang lagi pada masa depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis sebelum ini mengesahkan mengeluarkan kompaun sebanyak RM20,000 terhadap penganjur aktiviti Musc Drag Racing itu kerana melanggar SOP yang ditetapkan.

Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman, pihak penganjur dikesan melakukan kesalahan aktiviti dengan kehadiran ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan untuk melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Dalam pada itu Reezal Merican menyifatkan insiden di Sepang itu adalah kes terpencil dan tidak akan mempengaruhi penganjuran sukan lain buat masa ini.

“Banyak lagi penganjuran program atau aktiviti sukan lain setakat ini yang kadar pematuhan SOP tinggi dan ini juga perlu diambil kira,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya