KEMAMAN: Penganggur ditahan polis hari ini kerana dipercayai melakukan perbuatan khianat menconteng tembok nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permai yang masih dalam pembinaan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 39 tahun dari Kampung Mak Cili itu ditahan di kediamannya kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, penahanan suspek dibuat kurang 24 jam selepas kejadian itu disedari penyelia tapak projek sekolah baharu berkenaan, kira-kira pukul 8 malam semalam.
“Kejadian dipercayai dilakukan antara pukul 5 petang hingga 8 malam dengan tembok nama sekolah tersebut dipercayai disembur menggunakan cat.
“Siasatan masih lagi dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, bagaimanapun kita kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang melakukan aktiviti tidak bermoral tersebut sedangkan sekolah itu masih belum beroperasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hanyan berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine di samping mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
Tembok nama SMK Permai yang diconteng dan digantikan kepada SMK Mak Cili itu tular dalam media sosial, sejak malam tadi
Difahamkan, sebelum ini timbul perdebatan mengenai nama SMK Permai apabila ada segelintir yang tidak berpuas hati dengan pemilihan nama tersebut sedangkan lokasinya terletak di Jalan Mak Cili. -UTUSAN ONLINE