Penempatan pekerjaan graduan tertinggi - Utusan Malaysia

Penempatan pekerjaan graduan tertinggi

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penempatan pekerjaan untuk graduan dilaporkan adalah tertinggi walaupun golongan itu merupakan kategori yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, peratusan penempatan pekerjaan untuk pekerjaan yang setaraf dengan graduan iaitu Profesional, Pengurus, Teknikal dan Profesional Bersekutu (PMET) meningkat daripada 38 peratus pada suku ketiga kepada 50.2 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan graduan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan merupakan petanda baik kepada pemulihan pasaran buruh kerana kedua-dua sektor ini adalah sumber pekerjaan utama bagi graduan dalam tempoh sebelum krisis (2019).

Menurut beliau, statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan majoriti pekerja (62.5 peratus) termasuk graduan yang diambil bekerja dalam suku ketiga dan keempat tahun lalu menerima upah asas antara RM1,200 hingga RM1,499 sebulan.

“Hanya 8.8 peratus pekerja yang dibayar dengan upah asas di bawah gaji minimum RM1,200. Tumpuan upah pada julat RM1,200 hingga RM1,499 boleh dikaitkan dengan tiga faktor iaitu permintaan lebih tinggi untuk pekerjaan bukan lulusan graduan, lokasi dan pengangguran kitaran yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Pada suku keempat tahun lalu, penawaran tenaga kerja didominasi oleh pencari kerja dengan pendidikan tinggi yang mewakili 45.5 peratus dari keseluruhan jumlah pencari kerja. Walau bagaimanapun, majoriti atau 70 peratus kekosongan yang ditawarkan majikan adalah pekerjaan bukan graduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saravanan berkata, dengan kekurangan jawatan kosong untuk pekerjaan graduan PMET, pencari kerja berpendidikan tinggi berkemungkinan besar memilih pekerjaan bukan graduan seperti kerani, pembantu jualan, pembantu pentadbir, khidmat pelanggan dan seumpamanya sebagai langkah sementara sehingga ekonomi pulih sepenuhnya dan mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk kategori PMET.

Beliau menjelaskan, lokasi pekerjaan merupakan salah satu faktor penentu kepada upah yang ditawarkan kepada pencari kerja.

Katanya, pekerjaan yang serupa boleh ditawarkan upah yang berbeza, bergantung kepada jenis industri, saiz perniagaan dan lokasi, contohnya upah yang ditawarkan kepada graduan di Kelantan adalah lebih rendah berbanding di Selangor.

“Kadar pengangguran yang meningkat daripada 3.3 peratus dalam tempoh prakrisis kepada 4.5 peratus semasa krisis Covid-19 menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran semula jadi dan kitaran (involuntary).

“Ditambah dengan pengurangan bilangan jawatan kosong bagi pekerjaan graduan pada tahun 2020 berbanding 2019, ramai pencari kerja beralih ke pekerjaan bukan graduan yang menawarkan upah lebih rendah daripada terus kekal menganggur,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian yakin bilangan pekerjaan graduan dan kadar upah akan bertambah baik apabila ekonomi kembali stabil.

Oleh itu, katanya, kementerian melihat isu graduan baharu yang menerima upah lebih rendah pada tahun 2020 berbanding tahun 2019, termasuk yang mendapat upah lebih rendah daripada gaji minimum sebagai keadaan sementara.

Katanya, inisiatif pemulihan dan pakej rangsangan daripada kerajaan, ditambah dengan program imunisasi Covid-19 dijangka mampu menyumbang kepada pemulihan dalam ekonomi, sektor perniagaan dan pasaran pekerjaan.

“Kementerian melalui agensi seperti Perkeso dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), secara aktif melaksanakan inisiatif kerajaan menstabilkan pasaran tenaga kerja dan memudahkan pencari kerja dan penganggur mendapatkan pekerjaan.

“Inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah PenjanaKerjaya serta temuduga terbuka dan karnival kerjaya PenjanaKerjaya yang diadakan secara berkala,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Perkeso diarahkan untuk menganalisis dan menerbitkan dapatan terperinci bagi 160,000 penempatan pekerjaan yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2020, termasuklah perincian bagi penempatan kepada pencari kerja yang berpendidikan tinggi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya