Penempatan haram PATI digempur - Utusan Malaysia

Penempatan haram PATI digempur

Jabatan Imigresen menggempur sarang PATI di Puchong semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tindakan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) membina penempatan haram di di kawasan hutan belukar di Bukit Puchong, di sini terbongkar selepas kawasan itu diserbu tengah malam tadi.

Lebih mengejutkan, penempatan seluas tiga ekar turut dilengkapi bekalan elemtrik dan air yang dicuri oleh mereka untuk ‘kelangsungan’ hidup.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, menerusi Op Bersepadu yang dijalankan kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu dilakukan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Janatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum bertindak memeriksa 63 warga asing.

“Hasil pemeriksaan telah menahan 43 PATI termasuk 17 wanita membabitkan 33 warga Indonesia dan 10 Bangladesh berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun.

“Siasatan awal mendapati antara kesalahan yang dikesan adalah tiada sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya selepas operasi tersebut dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan, penempatan haram itu dipercayai telah dibina sejak enam hingga tujuh tahun lalu berdasarkan pemerhatian pihaknya pada keadaan rumah dan laluan denai.

Katanya, PATI ini juga dikesan membuat sambungan haram untuk mencuri bekalan elektrik dan air.

“Keluasan tempat ini adalah kira-kira tiga ekar di kawasan lereng bukit. Ada antara PATI terbabit bekerja di kawasan pembinaan dan kedai makan.

“Soal siasat juga mendapati ada antara yang berpindah ke kawasan penempatan haram ini akibat hilang pekerjaan sejak wabak Covid-19 melanda. Ada yang mendakwa tidak mampu bayar sewa rumah hingga menyebabkan mereka melarikan diri ke sini.

“Keadaan tempat tinggal di sini juga daif dan boleh menjadi punca merebak wabak Covid-19. Jadi, Imigresen akan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar penempatan itu dimusnahkan segera,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, statistik tahun ini merekodkan 1,353 operasi dengan pemeriksaan 30,027 warga asing. Hasil pemeriksaan bertindak menahan 5,179 PATI selain tangkapan terhadap 67 majikan.

“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peraturan.

“Imigresen juga mengingatkan majikan tidak melindungi PATI bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang. Orang ramai juga digesa untuk menyalur maklumat berkenaan PATI dalam membantu kita melaksanakan penguatkuasaan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya