SUNGAI SIPUT: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menjadikan tanah kosong di Persiaran Kledang 1, Kampung Tersusun Kledang Utama di sini sebagai tempat membuang sisa kumbahan haiwan dipercayai babi, amat dikesali penduduk.
Penduduk, Ibrahim Yop Mohd. Nasir, 44, berkata, mereka terpaksa menghirup udara busuk dan meloyakan itu selepas sebuah lori dilihat membawa sisa kumbahan dan membuangnya di kawasan berkenaan, Jumaat lalu.
Katanya, najis itu bukan sahaja dibuang di dalam beberapa karung guni malah turut berselerakan di sekitar kawasan termasuk laluan di hadapan rumah penduduk.
“Bau memang busuk tambahan lagi jika dibawa angin. Penduduk di sini memang tidak selesa, malah saya sendiri berasa amat terganggu kerana rumah terletak paling hampir dengan lokasi itu.
“Sekarang, untuk elakkan bau, kami terpaksa tutup pintu dan tingkap rumah. Malah ampaian pun terpaksa dialihkan kerana bimbang bau melekat pada pakaian,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Menurutnya, selain bau busuk, penduduk juga dihantui masalah lalat apabila dilihat semakin bertambah ekoran pembuangan sisa kumbahan tersebut.
Katanya, pencemaran udara itu juga menyebabkan dia sering mengalami gatal-gatal hingga terpaksa kerap untuk mandi.
“Kejadian ini pertama kali berlaku sejak saya menetap di sini dalam tempoh 10 tahun. Bau busuk ini mengganggu rutin harian penduduk terutama yang tinggal di kawasan berhampiran.
“Aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispa) telah dibuat dan berharap tindakan segera dapat diambil,” katanya yang mempunyai gambar lori membawa sisa kumbahan itu sebagai bukti.
Seorang lagi penduduk, Abd. Razak Ramli, 67, berkata, mereka tidak mengetahui najis haiwan apa namun mengesyaki bau busuk itu adalah daripada najis babi.
Katanya, bau busuk itu boleh dihidu oleh penduduk termasuk mereka yang tinggal di sempadan Taman Tun Sambanthan apabila dibawa angin.
“Bila bau terlalu busuk, kita mahu buat aktiviti luar bersama anak-anak pun terganggu. Baunya sangat teruk lagi-lagi kalau ditiup angin,” katanya.
Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Zulqarnain Mohamad berkata, jabatan yang berkaitan telah menerima aduan tersebut dan siasatan akan dijalankan segera bagi membolehkan tindakan diambil.-UTUSAN ONLINE