Penduduk mahu masalah banjir lumpur diselesaikan - Utusan Malaysia

Penduduk mahu masalah banjir lumpur diselesaikan

SEORANG penduduk menunjukkan dinding rumahnya yang retak akibat banjir kilat di Kampung Air Putih di Kemaman, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kira-kira 20 keluarga di Kampung Air Putih di sini diselubungi kebimbangan kerana kediaman mereka sering dilanda banjir kilat sejak akhir tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan dua rumah penduduk hampir roboh dan retak berikutan mendapan tanah di samping ada yang terpaksa berpindah kerana kediaman yang ditenggelami air dan lumpur.

Utusan Malaysia difahamkan kejadian itu berlaku akibat projek perumahan berdekatan yang didakwa tiada sistem perparitan sempurna selain aktiviti menarah bukit.

Seorang penduduk, Wahid Abdullah, 66, terpaksa membawa isteri dan empat anaknya berpindah kerana hujan menyebabkan air dan lumpur bertakung di dalam rumahnya.

“Saya sudah tidak tahan lagi dan sampai bila kami perlu melalui keadaan ini. Rumah saya se­perti kolam, penuh dengan air.

“Kami tiada pilihan selain berpindah berdekatan dan terpaksa berkorban masa memandangkan rumah baharu jauh dari sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Seorang lagi penduduk, Zaharah Said, 50, sedih mengenangkan rumah yang dibina hasil titik peluh bersama suami rosak akibat banjir lumpur.

“Bukan senang kami hendak memiliki rumah ini, dahulu kami ikat perut dan tidak sangka begini jadinya. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana teruknya keadaan rumah penduduk jika situasi ini berlarutan hingga musim tengkujuh pada hujung tahun,” katanya.

Menurut Zaharah, aduan mengenai isu banjir kilat itu telah disalurkan kepada pihak berkaitan, namun masih tiada tindakan hingga kini.

Sementara itu Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut dan berjumpa penduduk terlibat di samping pemaju bagi mencari jalan penyelesaian.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya