GURUN: Kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Padang Lembu di sini hidup dalam keadaan tidak selesa apabila diganggu lalat sehingga menyukarkan mereka menjalani aktiviti harian sejak empat tahun lalu.
Masalah serangan serangga itu dipercayai berpunca daripada beberapa ladang ternakan ayam yang diusahakan berhampiran dengan rumah penduduk.
Seorang peniaga kedai makan, Ai Pian A/L Lim Ai Choi, 58, berkata, pendapatannya terjejas selepas jumlah pelanggan berkurangan disebabkan premisnya terlalu banyak lalat berterbangan.
Katanya, masalah lalat tersebut semakin serius pada musim hujan, selain masalah bau yang busuk dan meloyakan.
“Pelanggan tidak selesa makan di kedai saya kerana lalat terlalu banyak dan mengganggu makanan yang dihidang,” katanya ketika ditemui semasa sesi dialog bersama Pengerusi Jawatakuasa Pertanian Industri Makanan, Perusahaan Perladangan Komoditi dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin di kampung itu hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Ah Peng, 40, berkata, kebanyakan penduduk di sini terpaksa tidur dalam kelambu kerana tidak mahu diganggu dengan lalat.
Katanya, dia tidak dapat tidur dengan lena sekiranya tidak memasang kelambu disebabkan lalat menghurung badan.
“Malah penduduk juga terpaksa menutup tingkap dan pintu rumah pada setiap masa untuk menghalang lebih banyak lalat masuk ke dalam rumah sehingga mengganggu kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu Azman memberitahu, pihaknya mendapati lalat yang mengancam penduduk itu berpunca daripada empat buah ladang ayam yang diusahakan secara terbuka di sekitar perkampungan tersebut.
“Saya telah mengarahkan pengusaha ladang ayam terbabit mematuhi syarat di bawah Enakmen Perladangan Unggas Negeri Kedah untuk keselesaan penduduk berhampiran.
“Pada masa sama, pihak berkuasa akan membuat pemantauan berkala untuk memastikan pengusaha ladang ayam itu mematuhi arahan tersebut,” katanya.