Pendakwaan kes rogol mohon keterangan saksi dibuat secara tertutup - Utusan Malaysia

Pendakwaan kes rogol mohon keterangan saksi dibuat secara tertutup

PAUL Yong Choo Kiong berdepan pertuduhan atas kes rogol. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa keterangan dua saksi pendakwaan kes rogol bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong perlu didengar secara tertutup kerana berisiko kepada keselamatan mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin berhujah, kedua-dua saksi itu merupakan peserta kepada program perlindungan saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

Beliau berkata, kedua-dua saksi telah menyatakan hasrat untuk memberi keterangan secara tertutup (in-camera), tanpa dilihat oleh tertuduh dan peguam selain proses pengecaman ke atas mereka juga dilakukan tanpa mereka dilihat oleh pihak berkenaan.

“Pihak pendakwaan dengan ini membuat permohonan rasmi kepada mahkamah untuk hanya dua saksi pendakwaan yang dipanggil sebagai saksi terlindung pertama dan saksi terlindung kedua diberi kebenaran untuk keterangan mereka diambil secara tertutup (in-camera).

“Mereka akan memberi keterangan dalam kes ini tanpa dilihat oleh tertuduh dan peguam di dalam mahkamah, namun, pihak berkenaan masih boleh mendengar suara saksi-saksi tersebut.

“Selain itu, proses pengecaman oleh mereka ke atas saksi lain termasuk tertuduh dibuat melalui jurubahasa atau lain-lain pegawai mahkamah tanpa dilihat oleh tertuduh dan peguamnya,” katanya dalam permohonan pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed supaya dua saksi itu memberi keterangan secara tertutup bagi perbicaraan kes berkenaan.

Menurut beliau, permohonan itu bagi membolehkan proses pengecaman ke atas mereka oleh saksi-saksi lain juga dilakukan tanpa dilihat oleh tertuduh mahupun peguam yang mewakilinya.

“Pihak pendakwaan juga memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah, supaya tiada pihak termasuk media yang boleh membawa kepada terdedahnya apa-apa maklumat tentang saksi terlindung,” katanya.

Menurut beliau, perkataan identiti bukan hanya bermaksud berkaitan latar belakang, maklumat peribadi mahupun lokasi saksi, tetapi juga perkara yang boleh membawa kepada pendedahan identiti termasuk pengecaman wajah saksi.

Katanya, membenarkan peguam dan tertuduh melihat saksi yang dilindungi adalah membawa kepada pendedahan identiti.

“Dengan kata lain, terdapat ancaman kepada saksi ini dan pendedahan identiti akan mendatangkan risiko ke atas keselamatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Choo Kiong membantah permohonan itu kerana menyifatkan Akta Perlindungan Saksi tidak perlu kerana afidavit yang diserahkan oleh pihak pendakwaan mempunyai nama saksi.

“Saksi pertama boleh (memberi keterangan) melalui kamera tanpa dilihat oleh anak guam kami disebabkan saksi itu merupakan mangsa, tetapi kami juga berhak bertanya beberapa soalan kepada saksi tersebut. Itu hak kami,” katanya.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Abdul Wahab memberitahu bahawa pihak pendakwaan harus menunggu sehingga pasukan pembelaan menyiapkan jawapan untuk permohonan tersebut.

Beliau juga memutuskan agar pihak pendakwaan meneruskan perbicaraan dengan memanggil saksi lain.

“Kita boleh simpan dua orang saksi berkenaan sebelum pegawai penyiasat (memberi keterangan). Kita mesti teruskan. Saya tidak ada sebab lain untuk menangguhkan perbicaraan ini. Bersedia dengan saksi-saksi yang lain,” katanya.

Perbicaraan bersambung esok.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya