BAGAN SERAI: Pokok ketum ayam atau nama saintifiknya madre de agua tidak tersenarai dalam kategori tumbuhan yang diharamkan atau dilarang penggunaan dan penanamannya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, pokok ini adalah tumbuhan yang berbeza daripada tumbuhan ketum dari keluarga mitragyna.
“Masyarakat kita menggelar pokok madre de agua sebagai ketum ayam kerana daunnya hampir menyerupai pokok mitragyna, namun, dari struktur daun, daun ketum ayam berbulu dan garis daunnya tidak berwarna merah.
“Kedua-dua tumbuhan ini dari spesis keluarga tumbuhan yang berbeza dan penggunaannya juga ada perbezaan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini hari ini.
Menurut Mior Faridalatrash, pokok ketum dari spesis mitragyna adalah sejenis tumbuhan yang boleh menyebabkan ketagihan kepada manusia dan dilarang penggunaannya.
Katanya, sebarang bentuk penanaman pokok jenis mitragyna adalah dilarang sama sekali dan tidak dibenarkan atas apa alasan sekali pun.
“Memetik daun ketum untuk sebarang kegunaan juga menjadi satu kesalahan apatah lagi jika menyimpan dan mengedarkannya.
“Manakala ketum ayam tidak tersenarai dalam kategori yang dilarang penggunaannya dan penanamannya buat masa sekarang kerana ia di gunakan untuk makanan protein bagi binatang ternakan, “katanya.
Semalam, seorang exco kerajaan negeri mahu menggalakan penduduk menanam pokok ketum ayam yang daunnya terbukti sesuai sebagai makanan ternakan sekali gus dapat mengurangkan kos makanan untuk ternakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, ketum ayam mengandungi protein tinggi yang sesuai untuk makanan ternakan.
Namun, Zainol Fadzi mengakui tidak pasti pokok ketum ayam boleh atau tidak untuk ditanam dari segi undang-undang. – UTUSAN ONLINE