Pemilik syarikat didenda RM24,000 guna penyata bank palsu - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat didenda RM24,000 guna penyata bank palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pemilik sebuah syarikat dikenakan hukuman denda RM 24,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak.

Hakim Abu Bakar Manat mengenakan hukuman denda RM8,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Afian Mohd Nasir @ Nasir, 51, yang didakwa memalsukan dokumen bagi tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan, Kuala Penyu bagi tempoh kontrak antara 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019.

Dalam pertuduhan pertama, Afian dengan curangnya didakwa menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata akaun Maybank atas nama Syarikat Azreen Enterprise bertarikh 31 Julai 2016 untuk mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke SMK Pekan, Kuala Penyu pada 24 November 2016 di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh turut didakwa atas kesalahan yang sama iaitu memalsukan penyata akaun Maybank atas nama syarikat yang sama bertarikh 31 Ogos 2016 dan 30 September 2016, juga pada tempat yang sama.

Atas ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Clementine Severinus dan tertuduh diwakili peguam dari Farazwin Haxdy & Associates. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya