Pemilihan UMNO perlu segera, bukan akhir tahun - Khairy - Utusan Malaysia

Pemilihan UMNO perlu segera, bukan akhir tahun – Khairy

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpandangan bahawa tiada keperluan pemilihan parti diadakan pada akhir tahun ini sebaliknya ia perlu dilakukan segera.

Beliau berkata, perkara itu lebih baik untuk UMNO sekiranya pemilihan parti diadakan lebih cepat berbanding menunggu hingga akhir tahun.

“Bagi saya lagi cepat lagi bagus,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat tertutup tahap kesiapsiagaan Negeri Johor bagi program Imunisasi Kebangsaan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Pada 30 Mac lalu, Khairy turut menyuarakan perkara sama apabila menggesa UMNO menyegerakan pemilihan parti itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika mahu menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sejak beberapa bulan lalu.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, pemilihan UMNO dijangka diadakan pada hujung tahun ini, namun tarikh sebenar pemilihan bergantung kepada PRU-15.

Mohamad berkata, dalam perlembagaan parti, mereka mempunyai tempoh masa sehingga 18 bulan untuk menangguhkan pemilihan bermula dari tarikh Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada 28 Mac lalu.

Bagaimanapun katanya, UMNO tidak akan menunggu sehingga 18 bulan memandangkan presiden parti menegaskan bahawa pemilihan akan diadakan pada tahun ini.

Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan pada tahun lalu selaras dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020, namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan akibat pandemik Covid-19.

Mengikut perlembagaan UMNO, penangguhan bagi pemilihan parti dibenarkan dibuat dalam tempoh 18 bulan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya