PORT DICKSON: Kira-kira 659 pembeli rumah projek Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Residensi Port Dickson tertekan selepas rumah yang dijanjikan masih belum siap, malah, perlu pula membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.
Seorang pembeli Azwan Anwar, 32, yang membeli rumah tersebut pada 2018 berkata, keadaan di tapak projek PR1MA Port Dickson ini amat menyedihkan dengan tiada sebarang kerja-kerja pembinaan dilakukan.
Keadaan tersebut tidak seperti yang dijanjikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin kepada pembeli.
“Dalam pertemuan bersama pembeli pada bulan Januari 2021, Menteri (Zuraida) berjanji untuk melantik kontraktor penyelamat dengan 300 pekerja bagi meneruskan kerja-kerja terbengkalai.
“Namun, sehingga hari ini, tiada pekerja seperti dikatakan dan pintu masuk di tapak pembinaan perumahan PR1MA ini masih ditutup, justeru, pembeli mahu menuntut janji,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan PR1MA Residensi Port Dickson di sini, semalam.
Terdahulu, kira-kira 30 pembeli rumah PR1MA Port Dickson membangkitkan permasalahan mereka kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Md. Nasir dalam program Jelajah Prihatin Rakyat : Jejak Rumah PR1MA Bermasalah.
Seorang lagi pembeli, Khairul Safuan Rashdi pula memberitahu, lebih 50 peratus pembeli kediaman berkenaan sudah mula membayar ansuran bulanan rumah kepada pihak bank.
Perkara itu, menurutnya, amat membebankan kerana dalam pada masa sama perlu membayar duit sewa rumah.
“Kebanyakan kami adalah pembeli rumah pertama, dalam keadaan sekarang, kami terkesan apabila duit ansuran bulanan rumah ditolak (pihak bank) malah ada yang sudah membuat bayaran penuh serta perlu membayar cukai tanah,” katanya.
Sementara itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, satu jawatankuasa bertindak yang menghimpunkan semua pembeli rumah PR1MA bermasalah akan diwujudkan bagi membela nasib dan hak pembeli yang terkesan.
“Apa yang dituntut oleh pembeli adalah hak mereka bukan ‘minta sedekah’, kita kena pastikan supaya perkara ini menjadi isu nasional sebagai peringatan dan pengajaran.
“Rumah PR1MA di Port Dickson ini misalnya ditinggalkan terlalu lama dan tarikh dijangka siap ditukar berkali-kali dan menteri perlu berlaku jujur kepada rakyat dan berpegang kepada tarikh dalam Surat Perjanjian Jual Beli (S&P),” katanya.
Beliau turut menggesa Zuraida mendedahkan senarai nama pemaju serta kos pampasan yang perlu dibayar kepada mereka bagi 32 projek yang dibatalkan, senarai projek yang dipinda tarikh siap, senarai projek lewat dan terbengkalai dalam tempoh dua minggu.
Sebelum ini, Akmal Nasrullah turut turun padang mendengar masalah pembeli rumah PR1MA Residensi Tebrau dan PR1MA Residensi Melaka Tengah 2. -UTUSAN ONLINE