Pembelaan Najib dibuat secara `buta' - Utusan Malaysia

Pembelaan Najib dibuat secara `buta’

NAJIB Razak tiba di perkarangan mahkamah bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara terhadap beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya di sini, hari ini. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peringkat bela diri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa dilakukan dalam keadaan `buta’ kerana ia dilakukan berdasarkan isu yang disentuh dalam keputusan prima facie, namun, sabitan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu dikatakan berdasarkan dapatan yang berbeza.

Menurut peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan peguam bela selaku perayu, perbezaan tersebut telah menyebabkan pembelaan yang sewajarnya tidak dapat dilakukan dan bertentangan dengan prinsip perbicaraan yang adil.

“Pembelaan memulakan bela diri berdasarkan apa yang telah diputuskan oleh Hakim Bicara (Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali) di akhir kes pendakwaan. Dapatan yang dibuat pada peringkat prima facie adalah isu yang perlu dijawab atau disangkal oleh Datuk Seri Najib ,” hujah peguam itu.

Tambahnya, sebarang pertambahan dapatan atau perubahan terhadap keputusan yang dibuat ketika memanggil Najib untuk membela diri adalah bertentangan dengan tanggapan bahawa hakim telah membuat penilaian maksimum.

Menurut peguam itu, pertambahan dapatan yang dibuat di akhir pembelaan bagi memberikan justifikasi atas penambahan yang dibuat pada keputusan prima facie seolah-olah satu serangan hendap kerana dapatan itu tidak boleh disangkal atau dihuraikan ketika bela diri dilakukan.

Dapatan tambahan tersebut juga dihujahkan sebagai bertentangan dengan prinsip perbicaraan yang adil, kata Muhammad Shafee.

Peguam terbabit berhujah demikian pada hari pertama rayuan Najib terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu ialah tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu. SRC International merupakan syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rayuan tersebut didengar oleh panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Karim yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Selain itu, Muhammad Shafee mendakwa, perbicaraan yang dianggap kes terbesar di abad ini sepatutnya didengar oleh seorang hakim yang lebih berpengalaman.

Ujarnya, Hakim Mohd. Nazlan tidak mempunyai pengalaman luas dalam kes-kes jenayah kerana hanya mengendalikan kes-kes sivil sebelum ini.

“Tidak lama selepas membuat keputusan mensabitkan Najib, hakim tersebut telah dipindahkan semula ke mahkamah sivil,” katanya.

Hakim Abdul Karim bagaimanapun meminta agar Muhammad Shafee tidak menyentuh lebih lanjut mengenai perkara tersebut dan hanya fokus kepada rayuan yang telah difailkan.

Pada peringkat awal, panel terbabit menolak permohonan Muhammad Shafee untuk menangguhkan rayuan tersebut selama sebulan atas alasan ingin mendapatkan dokumen yang dikatakan mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Hujahan rayuan oleh pembelaan akan bersambung esok. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya