Pematuhan SOP bazar Ramadan di Perak belum memuaskan - Utusan Malaysia

Pematuhan SOP bazar Ramadan di Perak belum memuaskan

SAARANI Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan baju raya kepada Nuraina Rahimah Mohd. Rahim pada Program Seronok Beraya di Lenggong. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diminta mencari pendekatan kreatif bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) kebiasaan baharu di bazar Ramadan terus dipatuhi.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, tahap pematuhan pengunjung di bazar Ramadan dilihat masih tidak memuaskan berikutan mereka lalai tentang SOP melibatkan penjarakan fizikal dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

Katanya, bagi memastikan SOP utama itu termasuk memakai pelitup muka kekal dipatuhi, PBT boleh menempatkan penguat kuasa di bazar-bazar Ramadan di bawah kelolaan mereka.

“Semasa berkunjung, memang mereka pakai pelitup muka sebab ia wajib tetapi penjarakan fizikal itu tidak dijaga. Jarang kita lihat mereka bawa cecair pembasmi kuman.

“Pakai pelitup muka saja tidak mencukupi kerana bila bersentuhan, kemungkinan untuk dapat jangkitan itu ada. Sebab itu kita minta mereka patuh ketiga-tiga SOP itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Program Seronok Beraya peringkat negeri 2021 di Dewan Kompleks Komuniti Desa Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Lenggong di sini semalam.

Pada program tersebut, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM465,000 untuk pemberian khas bantuan hari raya bernilai RM150 setiap seorang yang melibatkan 3,100 penerima seluruh negeri.

Setiap penerima akan menerima set baju kurung, baju Melayu, tudung, samping, songkok dan biskut raya.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu wujudnya kluster baru yang akan menyebabkan tindakan menutup bazar Ramadan terpaksa dilakukan.

“Kita faham, mereka datang untuk beli makanan tetapi perlu pastikan ada penjarakan fizikal. Pematuhan ini bukan melibatkan pengunjung sahaja tetapi juga peniaga.

“Kita tidak mahu ada apa-apa berlaku atau wujudnya kluster bazar Ramadan di Perak. Jika ada satu kes, ia sudah cukup untuk membolehkan bazar Ramadan ditutup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya