BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 13.0 Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) arah Bagan Ajam di sini, minggu lalu meninggal dunia tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam yang memaklumkan pemandu kereta jenis Honda City itu, Lim Song Joo, 43, tmeninggal dunia.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia kerana kecederaan parah dan kegagalan fungsi organ.
“Sementara itu, pemandu sebuah lagi kereta terlibat yang berusia 35 tahun masih dirawat di sebuah hospital swasta manakala anaknya berusia tiga tahun dibenarkan keluar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam Rabu minggu lalu, empat individu dilaporkan cedera selepas kereta Honda City yang dipandu secara melawan arus bertembung dengan kereta Toyota Corolla Altis dinaiki tiga sekeluarga.
Sebelum itu Honda City berkenaan bergesel dengan sebuah motosikal Benelli Leoncino dinaiki dua individu, namun mereka tidak cedera kerana sempat mengelak.
Pada Sabtu lalu, penumpang Toyota Corolla Altis, Goh Sei Yi, 31, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan ekoran kemalangan itu di HSJ.
Suami mangsa pula terpaksa menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta bersama anak perempuannya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE