TAMPIN: Dua sahabat baik tidak menyangka idea mereka menjual pelita punjut di kampung mendapat sambutan menggalakkan walaupun ramai anak muda yang berhijrah tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman.
Fataniah Mohd Radzi, 30, berkata, dia bersama rakannya, Norjunipah Juhurak, 35, memikirkan dan melaksanakan idea itu sejak bulan Ramadan, tahun lalu.
Mereka telah memikirkan cara terbaik bagi memastikan sambutan hari raya bagi ibu bapa di kampung tanpa kehadiran anak-anak, tidak hambar.
Kemudian, timbul idea tersebut selepas ternampak lelaki di tepi jalan di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah, Melaka menjual pelita punjut.
“Kami beli pelita ini dari orang kampung dan kami turut menawarkan khidmat memasang pelita punjut ini di rumah pembeli terutamanya warga emas. Tidak sangka, rupa-rupanya begitu ramai yang mahukan pelita punjut ini dan pada tahun lalu, kami berjaya menjual 500 batang pelita punjut.
“Pada tahun ini, nampaknya permintaan sangat menggalakkan dan kami menjangkakan sebanyak 800 batang pelita punjut akan berjaya dijual,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Gemencheh Baru, Tampin, semalam.
Menurut Fataniah, pembeli mereka bukan hanya di sekitar Negeri Sembilan malah dari Melaka, Johor dan juga Selangor.
“Khidmat penghantaran menerusi kurier kami tawarkan dan penghantaran paling jauh kami buat adalah ke Kedah.
“Pelita punjut ini bukan hanya sesuai dipasang di kawasan rumah kampung sahaja, malah, penduduk di taman perumahan juga sudah mula memasangnya di hadapan rumah masing-masing,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia berharap jualan pelita punjut tersebut secara tidak langsung dapat memastikan tradisi lama diteruskan generasi muda.- UTUSAN ONLINE