Pelakon ‘Mak Cik Petir’ tak sempat buka puasa ramai-ramai - Utusan Malaysia

Pelakon ‘Mak Cik Petir’ tak sempat buka puasa ramai-ramai

SUAMI kepada Noryati Taib, Hashim Mohd. Yusoff menyiram air mawar ke atas pusara isterinya yang merupakan seorang pelakon di Tanah Perkuburan Kampung Kurnia, Kebun Teh di Pasir Gudang, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelakon, Noryati Taib atau lebih lebih terkenal dengan gelaran ‘Mak Cik Petir’ merancang berkumpul dengan kesemua adik beradiknya untuk berbuka puasa bersama-sama pada hari pertama Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.

Bagaimanapun hasrat pelakon drama berusia 63 tahun itu tidak kesampaian setelah beliau menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada pukul 1.45 pagi di rumahnya di Taman Air Biru, Pasir Gudang, hari ini.

Menurut anaknya, Faizul Hafiz Hashim, 36, hasrat itu disuarakan ibunya selepas dibenarkan keluar dari unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pada 27 Februari lalu setelah mengalami komplikasi buah pinggang.

Faizul Hafiz berkata, keadaan kesihatan ibunya menunjukkan tanda positif selepas keluar HSI dan selera makannya juga bertambah baik.

“Kebiasaannya, seluruh keluarga kami akan berkumpul untuk berbuka puasa beramai-ramai di rumah pusaka di Kampung Sulaiman Menteri, di sini setiap tahun.

“Tetapi, disebabkan faktor kesihatan yang sukar untuk bergerak selepas kaki dipotong pada 2017 lalu akibat diabetes, mama berhasrat membuat majlis itu di rumahnya sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kurnia, Kebun Teh di sini, hari ini.

Noryati menghembuskan nafas terakhir di sisi suami, Hashim Mohd. Yusoff, 65, dan anak bongsu, Ezzahani Hashim, 31, yang pada awalnya mengadu tidak sedap badan kira-kira pukul 12 tengah malam tadi sebelum sesak nafas.

Faizul Hafiz berkata, selepas keluar hospital ibunya tidak merancang untuk beraksi di layar televisyen lagi sebaliknya cuma berharap kesihatannya bertambah baik.

Anak ketiga pelakon itu memberitahu, di hujung usia ibunya, arwah kerap ‘berleter’ meninggalkan pesanan kepada mereka empat beradik.

“Arwah mama memang suka berpesan, dia punya ‘leteran’ memang kita rindu. Setiap hari dia berpesan supaya jangan sakitkan hati orang, jangan menipu dan berbaik dengan masyarakat, dan jiran tetangga,” katanya.

Katanya, terdapat beberapa rakan artis yang juga anak angkat Noryati dalam seni hiburan pernah menghubunginya bertanyakan keadaan arwah selepas keluar hospital sebelum ini.

“Mama ramai anak angkat dalam industri antara yang kerap menghubungi mama seperti pelakon Sharnaaz Ahmad, Mamat Sepah, Joey Daud dan Along Cham. Malah, masa mama masuk hospital dulu, dia selalu dihubungi mereka,” katanya.

Terdahulu, jenazah Noryati selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh pada pukul 11.30 pagi selepas dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Al-ittihad Perjiranan 9 Taman Air Biru, Pasir Gudang. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya