GEORGETOWN: Kerajaan akan menaik taraf dan meningkatkan kemudahan di dua pelabuhan pendaratan ikan tuna di Pelabuhan Pulau Pinang di sini dan di Langkawi, Kedah supaya setanding dengan pelabuhan antarabangsa dan di negara jiran.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, usaha itu bagi menarik lebih banyak vesel ikan tuna yang beroperasi di Lautan Hindi mendaratkan hasil tangkapan mereka di pelabuhan tersebut.
Dalam masa sama jelas beliau, usaha itu juga bagi mewujudkan lebih banyak industri hiliran berkaitan industri ikan tuna seperti pengangkutan, penyimpanan dan pemprosesan sekali gus menyumbang kepada kerancakan ekonomi negara.
“Ketika ini kedua-dua pelabuhan itu disifatkan tidak begitu kompetitif untuk menarik vesel-vesel tuna khususnya pemain antarabangsa untuk berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan mereka.
“Disebabkan faktor itu juga, terdapat pengusaha tempatan mendaftar vesel ikan tuna mereka di luar negara seperti di Maldives,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu Ronald melancarkan kapal tangkapan tuna Ibu Wira 1 milik Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) Group yang menjadi vesel terbaharu membawa bendera Malaysia dalam operasi tangkapan ikan tuna di Lautan Hindi.
Ketika ini, terdapat sebanyak 19 vesel dan sebuah kapal pengangkut ikan tuna yang membawa bendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi dengan hasil tangkapan sebanyak 3,005 tan metrik dengan anggaran nilai RM40 juta.
Daripada jumlah itu, Pelabuhan Pulau Pinang mencatatkan jumlah pendaratan sebanyak 1,944 tan metrik dengan anggaran nilai RM28 juta manakala selebihnya didaratkan di Pelabuhan Langkawi.
Dalam pada itu Ronald berkata, kerajaan menggalakkan lebih banyak pihak swasta melibatkan diri dalam perusahaan tangkapan ikan tuna di Lautan Hindi yang masih belum diterokai pengusaha tempatan sepenuhnya.
Ujar beliau, setakat ini daripada kira-kira 200 lesen yang diperuntukkan bagi vesel penangkapan ikan tuna, hanya 10 peratus yang dikeluarkan kerajaan iaitu masih jauh daripada sebanyak 70 buah vesel seperti disasarkan menjelang 2030.
Sementara itu ditanya berkenaan permintaan AORB Group supaya Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung di sini dijadikan hab pelabuhan pengkhususan ikan tuna, Ronald berkata, perkara tersebut akan diteliti dan dinilai oleh pihak berwajib. -UTUSAN ONLINE