KOTA KINABALU: Dua pegawai Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah (JPBW) Sabah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini atas tuduhan menerima wang suapan berjumlah RM60,000.
Tertuduh, Athanasius John Malis, 58, selaku Pelukis Pelan di JPBW Sabah yang berdepan tiga pertuduhan dan Pegawai Perancang Bandar dan Desa JPBW Sabah, Shahrum Radzlee Mohd Samlih,38, yang didakwa atas satu pertuduhan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat.
Pada pertuduhan pertama dan kedua, Athanasius didakwa meminta wang suapan RM15,000 iaitu wang pendahuluan daripada RM60,000 daripada Muhammad Hasri Lim Abdullah bagi menukar status zon tanah NT di Kampung Bantayan Kota Kinabalu daripada zon countryside kepada zon residential “C”-R(C) tanpa mendapat kebenaran Lembaga Pusat Perancang Bandar dan Desa (LPPBD) dan kelulusan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Kesalahan itu masing-masing dilakukan pada 5 dan 12 September 2019 di aras bawah Kompleks Karamunsing dan tempat letak kereta Wisma Tun Fuad Stephens, Karamunsing.
Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa meminta wang suapan RM45,000 iaitu baki bayaran daripada RM60,000 daripada individu sama untuk tujuan yang sama pada 20 September 2019 jam 11.25 pagi di lot parkir kereta Medan Selera D’Riverside Sadong Jaya,
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Athanasius didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Sementara itu, Shahrum didakwa menerima wang tunai RM22,500 daripada Anthanasius sebagai upah bagi menandatangani surat pengesahan zon bagi lot tanah NT, Kampung Bantayan Kota Kinabalu sebagai zon residential “C”-R(C). Kesalahan itu dilakukan pada 20 November 2019 antara 3.15 hingga 3.45 petang di lot parkir Medan Selera Grace Point Sembulan.
Shahrum didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Kedua-dua tertuduh masih bertugas di bawah Kementerian Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Sabah.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mei sebagai tarikh pengurusan kes Anthanasius dan membenarkan tertuduh diikat jamin dengan RM20,000 dan deposit RM10,000 beserta seorang penjamin tempatan.
Tarikh pengurusan kes Shahrum ditetapkan pada 27 Mei dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan RM8,000 deposit beserta seorang penjamin tempatan.
Kedua-dua tertuduh diperintahkan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan dikehendaki melapor diri ke pejabat SPRM sekali dalam tempoh dua bulan.
Pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa, Clementine Severinus manakala, Athanasius diwakili peguam, PJ Perira dan Shahrum diwakili peguam, Nabila Norsahar.- UTUSAN ONLINE