Pegawai Baitulmal didakwa guna jawatan dapatkan suapan - Utusan Malaysia

Pegawai Baitulmal didakwa guna jawatan dapatkan suapan

MOHD. Hasbollah Ahmad (tengah) di bawa ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini bagi didakwa di atas dua pertuduhan iaitu menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dan menyalahgunakan harta kepunyaan MAINS empat tahun lalu.- UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pegawai Baitulmal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari atas dua pertuduhan iaitu menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dan menyalahgunakan harta kepunyaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Hasbollah Ahmad, 36, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Harullah.

Bagi pertuduhan utama, Mohd. Hasbollah yang bertugas sebagai Pegawai Baitulmal daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan iaitu mengesahkan permohonan sebuah syarikat Al Baiquni Enterprise yang melaksanakan kerja cenderahati bagi Program Hari Raya untuk asnaf dan fakir miskin di sekitar Kuala Pilah.

Tertuduh didakwa mempunyai kepentingan dan telah mengambil keuntungan berhubung kerja pembekalan tersebut dan kesalahan dilakukan pada 5 Jun 2017 di Pejabat Baitulmal Kuala Pilah.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di mana tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan pilihan, juga pada Jun 2017 tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Pegawai Baitulmal didakwa menyalahgunakan harta iaitu sejumlah wang tunai RM4,178 kepunyaan MAINS di lokasi yang sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan RM10,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Mahkamah menetapkan kes tersebut disebut semula pada 24 Mei depan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya