PBT diberi kuasa kompaun terutama ingkar SOP bazar Ramadan - Utusan Malaysia

PBT diberi kuasa kompaun terutama ingkar SOP bazar Ramadan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pegawai Penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Gred 19 ke atas diberi kuasa memberikan kompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta 342 termasuk sebarang ketidak patuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar-bazar Ramadan berkuat kuasa hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan turut menurunkan kuasa itu kepada Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT.

Sehubungan itu, beliau menggesa PBT mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan pelaksanaan SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dipatuhi sepenuhnya.

“MKN menerima beberapa aduan orang ramai mengenai ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan di beberapa lokasi di Malaysia. Perkara ini dipandang serius kerana penularan wabak Covid-19 masih berada di tahap membimbangkan.

“Orang ramai juga diminta memberi kerjasama kepada PBT dalam membantu negara melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 42 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 35 dikompaun manakala tujuh lagi direman, antaranya gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis 20 kes, tidak memakai pelitup muka (lapan), aktiviti pusat hiburan (tujuh) dan lain-lain (tujuh).

Katanya, Operasi Benteng juga menangkap lima orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas lima kenderaan darat dan sebanyak 86 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN