GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) diarahkan bertindak menutup mana-mana bazar Ramadan yang didapati tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, terdapat kira-kira 60 bazar Ramadan dibuka untuk kemudahan orang ramai di seluruh negeri ini dan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya orang ramai tidak memberi kerjasama dengan mematuhi SOP.
“Laporan yang saya terima setakat ini ada pematuhan SOP yang baik dalam kalangan orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan.
“Kedua-dua majlis bandaraya telah diarahkan untuk mengambil tindakan menutup bazar yang didapati tidak mengikut SOP kerana kita tidak akan berkompromi dalam soal kesihatan awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Pulau Pinang membenarkan penganjuran bazar Ramadan dengan SOP ketat yang mana hanya pembelian makanan dan minuman dibenarkan di bazar bermula pukul 3 petang hingga 8 malam.
Menurut Jagdeep, seramai 100 anggota penguat kuasa MBPP dan MBSP telah diarahkan menjalankan pemantauan di kesemua bazar Ramadan supaya orang ramai tidak leka dan patuh SOP.
“Kita bimbang sekiranya berlaku gelombang keempat penularan wabak Covid-19 ini, namun pada masa sama kita tahu pembukaan bazar amat penting untuk ekonomi rakyat.
“Namun, semua perlu ingat, jika kita ada duit sekalipun, kalau tidak seiring dengan kesihatan, duit ini tidak ada gunanya,” katanya.
Dalam pada itu Jagdeep berkata, setakat ini kerajaan negeri telah menerima tujuh permohonan iaitu satu permohonan di bahagian pulau dan enam lagi di Seberang Perai untuk menempatkan pekerja di skim komersial dan di kawasan kilang.
“Sebelum ini kerajaan negeri membenarkan penempatan pekerja kilang di tapak kosong yang sesuai di dalam kawasan kilang-kilang itu sendiri supaya penularan Covid-19 dapat dikawal dan menerima sambutan yang baik.
“Selain itu, kerajaan negeri juga membenarkan penempatan pekerja kilang di skim komersial yang jauh dari skim-skim perumahan melibatkan orang awam bagi memastikan pekerja-pekerja ini tidak menginap di skim perumahan di luar,” katanya. -UTUSAN ONLINE