Patuh SOP atau batal bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Patuh SOP atau batal bazar Ramadan

SUASANA bazar Ramadan di Kampung Melayu, Ayer Itam, Pulau Pinang pada hari pertama operasi perniagaan itu yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan kebimbangan orang ramai kerana ketidakpatuhan pengunjung terhadap SOP Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tindakan kompaun atau membatalkan penganjuran bazar Ramadan di daerah ini bakal dilaksanakan pihak berkuasa sekiranya penganjur atau pengunjung gagal mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Covid-19.

Arahan tegas itu dikeluarkan berikutan terdapat banyak aduan daripada pengguna beserta laporan bergambar daripada pasukan pemantauan SOP Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pasar Ramadan MBPP, Ahmad Azrizal Tahir berkata, berlaku ketidakpatuhan SOP di beberapa bazar Ramadan di daerah Timur Laut dan Barat Daya pada hari pertama operasi perniagaan itu bermula.

“Memang kami ada terima laporan bergambar mengenai pematuhan SOP yang amat kurang terutama di kawasan Bayan Baru dan Ayer Itam semalam.

“Berlaku kesesakan, isu penjarakan fizikal, cara pemakaian pelitup muka dan pengunjung gagal mendaftar diri melalui aplikasi MySejahtera atau daftar rekod premis antara yang dikenal pasti di hampir tujuh bazar Ramadan di sini.

“Pasukan pemantauan MBPP akan bekerjasama dengan polis dan Kementerian Kesihatan untuk membuat tindakan kompaun serta batal terus penganjuran bazar Ramadan yang masih gagal patuh SOP,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam

Dalam pada itu, Ahmad Azrizal memuji pengurusan bazar Ramadan di Bayan Lepas apabila pengunjung perlu beratur panjang demi memastikan pematuhan arahan yang ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan peniaga-peniaga yang beroperasi di luar atau tepi jalan turut sama menjalankan perniagaan dalam bazar Ramadan.

“Timbul isu pembayaran sewa tapak dalam kalangan peniaga yang berlesen di bazar Ramadan dengan peniaga-peniaga tanpa lesen yang berniaga di luar lokasi berkenaan.

“Kita sarankan mereka menjalankan operasi perniagaan di dalam bazar Ramadan kerana kita berdepan kesukaran untuk kawalan pematuhan bagi mereka yang berniaga di luar,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya