MELAKA: Sekumpulan individu dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup menggadaikan nyawa terjun ke dalam laut bagi meloloskan diri selepas diserbu Jabatan Imigresen di sebuah penempatan pekerja asing di Pantai Klebang, di sini awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, K. Vishnutharan berkata, Op Sapu itu dilakukan pada pukul 12.30 pagi yang mana kesemua pekerja asing di lokasi lari bertempiaran sehingga ada yang masuk ke dalam semak dan terjun ke dalam laut.
“Suasana terlalu gelap pada ketika itu dan kita tidak mahu merisikokan keselamatan anggota, jadi ada yang meloloskan diri selepas bertindak terjun ke dalam laut.
“Beberapa nelayan yang sedang memancing di lokasi kejadian turut mendakwa ternampak sekumpulan individu berenang, namun tidak dapat dipastikan keadaan mereka selepas itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, kesemua warga asing itu dipercayai bekerja di projek tapak pembinaan di kawasan sekitar.
Tambahnya, seramai 31 individu bagaimanapun ditahan di lokasi tersebut manakala lapan lagi dalam serbuan berasingan di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah (MPHTJ) Batu Berendam, dekat sini.
Jelasnya, kesemua individu berusia antara 23 hingga 50 tahun ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), termasuk melanggar Seksyen 6 (1) (C) iaitu tiada pas atau permit yang sah dan Seksyen 15 (1) (c) kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan. – UTUSAN ONLINE