Pasaran minyak sawit Malaysia masih besar - Utusan Malaysia

Pasaran minyak sawit Malaysia masih besar

MOHD. Khairuddin Aman Razali beramah mesra dengan sebahagian daripada pekebun kecil yang menerima bantuan pada majlis penyerahan sumbangan bantuan kepada golongan B40 pekebun kecil getah di Kuala Pilah. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pasaran minyak sawit Malaysia masih lagi besar meskipun berlaku sekatan mahupun larangan pengimportan bahan komoditi tersebut oleh negara-negara Kesatuan Eropah (EU) termasuk larangan penggunaannya sebagai bahan biofuel oleh Belgium.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun ada negara membuat keputusan tidak menerima minyak sawit dari negara ini namun ia tidak akan menjejaskan pasaran eksport minyak sawit negara yang kini berjumlah 20 juta tan sehari.

“Belgium tidak terima tapi kita ada banyak negara lain, ada negara yang telah bertemu dengan kita seperti Afghanistan yang bersedia untuk menambah import minyak sawit dari negara kita iaitu dari 75,000 tan akan sampai 100,000 tan.

“Kita yakin pasaran sawit masih besar dan kita tidak akan terjejas termasuk boikot dari EU. Kita akan bergerak agresif untuk pasarkan ke negara lain termasuk ke Asia Barat dan Afrika termasuk di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan bantuan kepada golongan B40 pekebun kecil getah di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan wang tunai yang disalurkan melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) berjumlah RM10,000 kepada 100 penerima golongan B40 pekebun kecil getah.

Baru-baru ini Belgium dilaporkan akan melarang bahan api biologi (biofuel) diperbuat daripada soya dan minyak sawit mulai tahun depan kerana kebimbangan mengenai aktiviti penebangan hutan.

Nilai eksport agrikomoditi sawit Malaysia ke Belgium pada tahun lalu adalah berjumlah RM207 juta dan setakat Januari hingga Februari tahun ini ia mencatat RM36 juta.

Dalam pada itu Mohd. Khairuddin berkata, Pejabat Serantau Agrikomoditi Malaysia yang merangkumi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), MRC dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dijangka akan beroperasi di Jeddah, Arab Saudi pada Mei depan.

“Tujuan pejabat ini adalah untuk kita menggerakkan pemasaran secara agresif di Asia Barat dan juga Afrika yang mempunyai potensi sangat besar. Pasaran utama sawit sekarang kita fokuskan kepada Asia Barat dan juga Afrika termasuk perkayuan yang fokus industri perabot akan difokuskan juga di kedua-dua rantau berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya