Pasar raya besar patuh harga kawalan - Utusan Malaysia

Pasar raya besar patuh harga kawalan

SEORANG pelanggan melihat ayam segar yang dijual dengan harga RM7.90 sekilogram dalam tinjauan di sebuah pasar raya di Kuchai Lama di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasar raya-pasar raya besar terpaksa akur dengan skim kawalan harga yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasaraya NSK Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan Pasaraya Giant Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini mendapati, pasar raya tersebut menjual barangan kawalan seperti mana yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan 2021 (SHMMP).

Tinjauan mendapati, harga barangan di Pasaraya NSK seperti ayam standard berharga RM7.90 sekilogram iaitu sama dengan harga ditetapkan dalam SHMMP.

Begitui juga daging tempatan RM34 sekilogram yang sama dengan harga disyorkan dalam SHMMP.

Menurut jurucakap Pasaraya NSK, mereka akur dengan ketetapan kementerian berhubung penetapan harga maksimum 12 barangan keperluan dalam skim berkenaan.

“Hendak buat bagaimana, kerajaan tetapkan, jadi kita kena ikut. Harga ayam turun dari RM8.39 sekilogram. Daging turun lagi banyak dari RM41 sekilogram,” katanya.

Dalam pada itu, pengunjung Pasaraya NSK, Farida Jaafar, 65 tahun berkata, walaupun terdapat beberapa harga barang di bawah kawalan, namun ia tetap tidak mengurangkan beban pengguna kerana harga barangan lain masih mahal.

“Saya meniaga sate sudah 40 tahun. Kadangkala berniaga hanya boleh pusing modal sahaja. Barang sekarang banyak yang mahal,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pasaraya Giant berkata pihaknya tidak boleh meletakkan harga sesuka hati kerana perlu mengikut ketetapan kementerian.

“Kita Giant memang tidak boleh naikkan harga sesuka hati. Kena ikut apa yang ditetapkan. Sebelum ini harga ayam RM5.99, tetapi terpaksa naikkan tanpa melebihi harga kawalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN