Pasangan warga emas cekal jaga tiga anak OKU - Utusan Malaysia

Pasangan warga emas cekal jaga tiga anak OKU

LOW Guo Nan (kiri) menziarahi keluarga pasangan suami isteri warga emas yang menjaga tiga anak mereka yang mengalami kecacatan di Buntong, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sukar untuk membayangkan kesusahan yang ditanggung pasangan warga emas pada usia lanjut apabila perlu menjaga tiga anak orang kelainan upaya (OKU) termasuk seorang yang menghidap lumpuh atau cerebral palsy.

Pasangan tersebut, Chew Kam Har, 73, bersama suaminya, Chow Hoong, 77, yang tinggal di Jalan Wayang, Kampung Baru Buntong di sini semakin bimbang mengenangkan nasib ketiga-tiga anak tersebut sekiranya mereka meninggal dunia nanti.

Chow Hoong dulunya bekerja sebagai penyelenggara di sebuah kilang di sini, tetapi telah berhenti kerja atas faktor usia dan kini menguruskan kedua-dua anaknya di rumah.

Menurut Kam Har, anak sulongnya, Chow Yew Ming, 45, lumpuh apabila terjatuh tangga semasa berusia tiga bulan dan kini hanya terlantar serta perlu diuruskan untuk mandi serta makan minum selain menukar lampin pakai buang.

Kata suri rumah ini, dua anak lain iaitu Chow Yew Leong, 44, dan Chow Yew Wah, 36, pula mengalami masalah lembam serta pernah dihantar ke pusat latihan OKU sebelum bekerja di sebuah kilang.

“Malangnya, Yew Leong ditimpa kemalangan apabila dilanggar kereta kira-kira 10 tahun lalu menyebabkan dia mengalami kecederaan pada saraf. Sejak itu, pergerakannya terbatas, tetapi dia masih boleh menguruskan diri.

“Cuma Yew Wah yang bekerja di sebuah kilang di Menglembu dengan gaji sebanyak RM1,000. Walaupun dia lembam, tapi, dapatlah dia mempunyai wang belanja untuk keperluan diri selain membantu keluarga sikit-sikit,” katanya semasa ditemui pemberita di Buntong di sini hari ini.

Ketiga-tiga anak Kam Har turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang sedikit sebanyak dapatlah meringankan beban keluarga tersebut khususnya bagi keperluan anak-anaknya.

Apa yang meresahkan Kam Har dan suaminya ialah kudrat mereka berdua untuk menguruskan dua anak yang memerlukan perhatian itu semakin berkurangan, lantas mereka bimbang bagaimana nasib pada masa hadapan.

“Saya dan suami tidak tahu usia kami sampai bila. Suami pula selalu tidak sihat kerana ada darah tinggi dan kolestrol. Sebab itu, baik sekiranya ada pusat jagaan yang boleh menjaga mereka nanti.

“Tapi biarlah dijaga di Ipoh saja agar kami boleh melawat. Biarpun kami merasa sedih untuk berpisah kerana merekalah zuriat yang ada, tetapi, jika keadaan memaksa, kami terpaksa merelakan,” ujarnya.

Keadaan keluarga ini mendapat perhatian Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak apabila datang menziarahi bagi menyampaikan sumbangan selain bertanya khabar.

Ketua Pusat Perkhidmatan dan Biro Pengaduan MCA Perak, Low Guo Nan berkata, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan sebuah kerusi khas bagi kegunaan anak sulung pasangan ini yang ketika ini hanya terbaring di atas kerusi malas.

“Kisah keluarga pasangan ini sangat sedih dan kita amat bersimpati dengan mereka. Oleh sebab itu, MCA Perak akan membantu untuk mendapatkan keperluan yang sewajarnya buat mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN