Pasal audio, pasal video dia pandai - Anwar sindir Azmin - Utusan Malaysia

Pasal audio, pasal video dia pandai – Anwar sindir Azmin

ANWAR Ibrahim bersama Bekas Yang Dipertua Pas Hulu Langat yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Razali Hassan yang merupakan salah seorang daripada 15 individu berlatar belakang bidang agama yang mengumumkan memasuki PKR hari ini di Seremban.- UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sinis menyifatkan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai individu yang arif berkenaan hal audio dan video.

Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Gombak itu yang yakin bahawa audio mirip suara Anwar dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah benar.

“Tidak mengapa, itu pandangan dia, dia pasal video, pasal audio dia pandai.(Kenyataan saya) ringkas, (tetapi) maknanya dalam,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri majlis sidang akhbar Pengumuman Kemasukan Tokoh-Tokoh Agamawan ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Mohamed Azmin semalam berkata, keyakinan beliau itu adalah berdasarkan pengalaman beliau sebagai individu rapat dengan Anwar sebagai bekas Setiausaha Sulit Presiden PKR itu sendiri.

Sebelum ini, tersebar rakaman audio kira-kira empat minit melibatkan suara mirip Ahmad Zahid dan Anwar berhubung apa yang berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, akhir bulan lalu.

Dalam rakaman tersebut, suara mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki suara seakan Ahamad Zahid kerana berjaya mengendalikan Perhimpunan Agung UMNO.

Selain itu, suara yang didakwa Ahamd Zahid berkata, apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat taktikal.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dan Anwar telah menafikan suara dalam audio berkenaan adalah miliknya dan masing-masing berkata akan membuat laporan polis.

Sementara itu, mengulas nasihat Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador supaya Anwar dan Ahmad Zahid membuat laporan polis berasakan mereka difitnah susulan penyebaran audio tersebut, Ahli Parlimen Port Dickson itu hanya mengucapkan ‘tahniah’.

“Tahniah, Ketua Polis Negara banyak kerja video, audio yang belum diselesaikan,” katanya lagi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya