Pas yang kerap ‘ditunggangi’ - Utusan Malaysia

Pas yang kerap ‘ditunggangi’

NOOR NIRWANDY MAT NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pas sepatutnya sudah boleh berhenti daripada ditunggang oleh parti lain kerana ia mempunyai kekuatan pengaruh dan akar umbi.

Jika tidak, sejarah kekal menunjukkan Pas sentiasa ditunggang, dahulunya oleh PKR, kemudian DAP dan terkini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, itulah masalah Pas kerana tidak berani untuk kekal dengan prinsip.

Beliau berkata, parti ber­kenaan mempunyai akar umbi yang kuat namun tidak menggunakannya.

“Apabila jadi begini, akan timbul persepsi bahawa Pas hanya kekal bersifat king maker, tidak berani kekal dengan pendirian, melihat kepada faedah demi kelangsungan parti itu,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas mengapa Pas sanggup membelakangkan Muafakat Nasional (MN) yang sudah dibentuk lebih awal berbanding Perikatan Nasional (PN).

Muhammad Ariff Asyrul berkata, sudah beberapa kali kerjasama membabitkan UMNO dan Pas berlaku namun kesemuanya gagal dan hanya mampu bertahan dalam tempoh masa yang singkat.

“Saya lihat ada banyak faktor mengapa MN sukar bertahan antaranya, faktor agihan kerusi bagi kawasan pengundi Melayu sebab kedua-duanya begitu dominan.

“Kedua, Pas nampak mereka lebih mudah untuk bekerjasama dengan Bersatu memandangkan Bersatu parti baharu dan akar umbi mereka pula lemah berbanding UMNO yang sudah lama kukuh dan memiliki akar umbi yang kuat,” katanya.

Selain itu beliau berkata, dalam UMNO sendiri juga dominasi kumpulan yang memiliki pendakwaan mahkamah juga kuat memandangkan rata-rata mereka terdiri daripada ahli majlis tertinggi parti ber­kenaan.

“Saya nampak jika skrip atau drama ini masih berpanjangan, ia akan menjejaskan kelangsungan politik Melayu. Jika begini sukar untuk membentuk kesatuan undi dalam kalangan Melayu-Islam.

“Lebih elok jika Pas menjadi jambatan untuk UMNO dan Bersatu kembali melakukan kerjasama,” katanya.

Namun beliau berkata, tidak mustahil pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), model yang sama ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu bakal digunakan oleh PN dan Barisan Nasional (BN), bertanding atas tiket lain-lain namun masih bekerjasama dalam bentuk ‘permuafakatan sewaktu pilihan raya’.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berpendapat, Pas perlu terus menjadi ejen pendamai kepada UMNO dan Bersatu dengan mengukuhkan MN jika mahu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, Pas tidak mampu membelakangkan MN ke­rana kemenangan PRU-15 dan pembentukan sebuah kerajaan kukuh dan stabil amat bergantung kepada kerjasama antara UMNO, Pas dan Bersatu.

Malah katanya, jika Pas berhenti menjadi ejen pendamai dan menggagalkan kerjasama itu, besar kemungkinan keputusan PRU-15 tidak akan memihak kepada mereka.

“Pas perlu tetap bersama MN. Setakat ini kita lihat Pas sudah berusaha menjadi ejen pendamai untuk memastikan rekonsiliasi politik antara UMNO dan Bersatu. Jika tidak, kerjasama antara mereka akan menjadi tidak seimbang.

“Jadi mereka harus sedar pilihan kerjasama adalah terhad dan perlu terus bekerjasama dengan UMNO. Kalau kerjasama ini tidak dimuktamadkan sebelum PRU-15, tidak akan ada keputusan yang akan memihak mereka nanti,” katanya.

“MN perlu diteruskan jika mahu dominasi Melayu Islam dikekalkan. UMNO, Pas dan Bersatu perlu lebih terbuka dengan jalinan kerjasama. Bersatu pun perlu iktiraf UMNO sebagai parti yang kuat. Jika UMNO bertanding solo, ia hanya akan meme­cahkan undi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya