ISKANDAR PUTERI: Pas menolak dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyatakan hasrat parti itu untuk membuat persempadanan semula sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai merugikan masyarakat bukan Islam di negara ini.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebaliknya berkata, langkah itu adalah untuk mengembalikan semula hak kepada rakyat yang ditindas selama ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan, Pas sememangnya merupakan parti paling berbahaya kepada DAP kerana perbezaan ideologi kedua-duanya.
“Betul, bahaya kepada DAP. Pas parti paling bahaya kepada DAP kerana ideologi DAP bertentangan dengan ideologi dibawa Pas, iaitu Parti Islam Semalaysia.
“Itulah yang menakutkan DAP dan bukan sekali mereka takut pada kita, tetapi dari dulu lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan KPRJ Builders Sdn. Bhd. (KBSB) di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan dibuat Guan Eng bahawa Pas sebagai parti paling berbahaya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Semalam, Guan Eng semasa berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Melaka mendakwa, hasrat Pas melaksanakan persempadanan semula seandainya menang dua per tiga dalam PRU-15 adalah dasar aparteid yang menafikan hak bukan Islam serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mengadakan persempadanan kawasan berdasarkan kaum dan agama.
Mohd. Khairuddin turut mengakui kenyataan Guan Eng bahawa Pas sekarang tidak sama dengan Pas dahulu kerana mereka kini merupakan kerajaan berbanding dahulu iaitu pembangkang.
“Hasrat Pas untuk melakukan persempadanan semula sekiranya menang PRU-15 adalah impian setiap parti, mana ada parti yang tidak mahu perluaskan penguasaan mereka. Ini realiti.
“Selain itu, ia juga menjadi hak rakyat di kawasan terlibat untuk persempadanan semula, khususnya melibatkan negeri di pantai timur yang dizalimi begitu lama dari sudut keluasan dan jumlah Parlimen.
“Sebagai contoh Terengganu, sejak 1963 hanya ada lapan Parlimen sehingga kini. Kelantan ada 14 kerusi Parlimen, Kedah 15 kerusi dan Pahang 14 kerusi
“Ini merupakan satu perkara yang kita hendak betulkan dan kembalikan hak kepada rakyat,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan hasrat Pas itu tidak sekali-kali akan merugikan masyarakat bukan Islam di negara ini sebaliknya kenyataan Guan Eng hanyalah dakwaan pembangkang yang merasakan mereka akan mengalami kerugian.