Pas minta UMNO Kedah calon nama baharu ganti Fadzil - Utusan Malaysia

Pas minta UMNO Kedah calon nama baharu ganti Fadzil

Pas tidak pernah ajak Bersatu bincang mengenai mengembalikan semula Muafakat Nasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Pejabat Menteri Besar akan meminta Badan Perhubungan UMNO negeri untuk mencalonkan individu yang dirasakan sesuai bagi menggantikan Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd. Fadzil Zolkifli yang meletakkan jawatan sebagai Pegawai Khas Menteri Besar pada 4 April lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu sebagai tanda komitmen Pas tehadap Muafakat Nasional (MN) yang dibina bersama UMNO selama ini.

Katanya, beliau akan meminta Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Armishah Siraj, untuk memohon senarai nama calon tersebut daripada UMNO secepat mungkin.

“Saya dan Mohd. Fadzil tak ada masalah apa-apa dan sangat menghargai kerja dilaksanakannya selama ini. Cuma ada isu sikit berkaitan ucapan beliau di Perhimpunan Agung UMNO dan beliau memilih untuk meletak jawatan.

“Disebabkan itu saya akan menggantikan kedudukan itu dengan pegawai khas dari UMNO juga. Ini komitmen Pas kepada MN yang terbina antara Pas dan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mohd. Fadzil pada 4 April lalu melepaskan jawatan tersebut susulan isu ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO dengan mendakwa, terkontang-kanting sebagai satu-satunya pegawai khas dari UMNO di Pejabat Menteri Besar selain berdepan kutukan berhubung isu i-Sinar dan moratorium diperjuangkan Pemuda UMNO.

Muhammad Sanusi menambah, isu itu tidak sepatutnya terus ‘ditekan’ agar tidak menjadi punca perbalahan.

“Kita nak perpaduan ummah yang selama ini dibina dapat terus dikekalkan. Untuk itu, isu kecil perlu diketepikan kerana ada perjuangan lebih besar menanti kita melibatkan penyatuan umat.

“Pastikan penyatuan ini tidak diganggu gugat oleh kepentingan diri dan kelompok yang sempit. Secara peribadi, saya tidak merasakan isu ini menjejaskan hubungan antara UMNO, Pas dan Bersatu di Kedah,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya