Pas kecewa berterusan penghinaan Islam - Utusan Malaysia

Pas kecewa berterusan penghinaan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas amat kecewa terhadap penghinaan terhadap Islam terus berlaku di negara ini saban hari dan terbaharu satu iklan judi tular di media sosial.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzzaman Mohamad berkata, belum pun reda isu majikan memukul pekerja disebabkan puasa, kini muncul satu lagi penghinaan iaitu membabitkan kemuliaan perayaan umat Islam.

“Aidilfitri adalah tanda kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa bagi tujuan meraih takwa daripada Allah SWT.

“Bukannya suatu perkara kecil yang boleh dicampur adukkan dosa pahala dengan aktiviti perjudian yang sememangnya mendapat murka Allah,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, tular klip video lagu raya berdurasi dua minit dan satu saat yang memaparkan aksi lakonan, nyanyian empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita.

Liriknya video berkenaan menggalakkan serta mengajak orang awam berjudi untuk mendapatkan duit.

Klip berdurasi itu turut memaparkan kandungan menarik minat orang ramai mencuba permainan itu untuk mencari duit raya.

Iklan berkenaan juga meminta orang ramai supaya tidak susah hati dengan perbelanjaan menjelang sambutan Aidilfitri lebih tiga minggu lagi.

Justeru Kamaruzzaman berkata Pas menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan segera terhadap video lagu raya yang diterbitkan oleh syarikat judi terlibat.

Jelas beliau video berdurasi dua minit itu jelas mengajak kepada orang beragama Islam berjudi dan bergantung nasib dengan syarikat tersebut.

“Perkara ini telah melanggar Enakmen Jenayah Syariah yang menjadi kesalahan umat Islam terlibat dengan aktiviti perjudian mencemarkan institusi agama.

“Malah Pas juga menggesa agar Polis Diraja Malaysia menahan dan menyiasat pemilik dan barisan pelakon video tersebut seterusnya mengenakan tindakan tegas.

“Perkara ini mesti dijadikan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam agar memelihara kesucian agama Islam,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN