KANGAR: Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan menerima aduan kenaikan barang asas binaan khususnya besi yang didakwa mencecah sehingga 100 peratus.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan perkara berkenaan telah dibincangkan di peringkat atasan bagi mencari jalan penyelesaian.
Malah, katanya, pihaknya bersama beberapa pihak lain seperti Kementerian Kerja Raya; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sentiasa memantau situasi tersebut dan sedang meneliti punca kenaikan tersebut.
“Ya, ada aduan (kenaikan barang asas binaan) dan perkara ini telah dibincang di peringkat atasan. Kita sedang memantau, malah bukan kami sahaja pihak seperti CIDB turut bersama meneliti masalah ini.
“Kami mencari punca mengapa berlaku kenaikan ini sebenarnya. Kita akan pantau dan mengenai pasti harga pasaran bagaimana,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sijil Logo Buatan Malaysia kepada Syarikat HPA Industries Sdn. Bhd di Jejawi, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengasas HPA International, Ismail Ahmad; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Azizan Sulaiman.
Pada 6 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan isu kenaikan harga barangan asas pembinaan khususnya besi bukan perkara baharu, namun malangnya belum nampak tanda-tanda untuk pulih dengan difahamkan harga barangan itu melambung sehingga mencecah 100 peratus.
Difahamkan, harga besi dari RM18 sebatang naik sehingga RM32 sebatang yang mana dikatakan berterusan sehingga menyebabkan kumpulan sektor pembinaan rumah itu menanggung kerugian.
Dilema kontraktor tersebut mula dirasakan sejak awal tahun ini, selain mereka terpaksa berhadapan masalah kesukaran mendapatkan sesetengah jenis barangan binaan berikutan kekurangan stok di kedai-kedai.
Selain besi, harga barangan asas binaan lain seperti pasir didakwa meningkat dari RM60 kepada RM80 satu ela, paip dari RM30 kepada RM60 dan bagi sekampit, simen pula dari RM14 kepada RM18.
Dalam perkembangan lain, Alexander berkata, pelaksanaan Op Harum 1.0 dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengekang penyalahgunaan nama harumanis sempena musim buah berkenaan tidak lama lagi.
Katanya, penggunaan nama harumanis pada mangga jenis lain mengelirukan pengguna selain menjejaskan pendapatan dan hasil para pengusaha buah berkenaan.
“Kalau ada kes demikian kita minta aduan dibuat dan tindakan penguat kuasaan akan dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab itu. Pada masa ini, aduan mengenainya masih belum diterima dan pemantauan akan sentiasa dilakukan,” katanya. – UTUSANN ONLINE