Padah percayakan rakan, lelaki disenarai hitam bank - Utusan Malaysia

Padah percayakan rakan, lelaki disenarai hitam bank

CHONG (kiri) dalam sidang akhbar berkaitan kes penipuan pembelian kereta di pejabat DAP Ipoh Timur dan ADUN Tebing Tinggi di Manhattan Business Centre di Ipoh hari ini. - UTUSAN ONLINE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan seorang lelaki memberi ‘pinjam’ akaun simpanannya kepada rakan bagi tujuan transaksi pihak ketiga membawa padah, apabila nombor akaun tersebut rupa-rupanya digunakan untuk penipuan pembelian kereta terpakai.

Lebih malang apabila lelaki dikenali sebagai Chong, 32, itu berdepan tindakan disenarai hitam bank ekoran banyak laporan penipuan terhadap akaun simpanan atas namanya.

Menurut Chong, rakan yang dikenali sejak kecil itu mula menggunakan akaun simpanannya bermula Mac lalu namun penipuan tersebut baru disedari minggu lepas selepas dihubungi seorang wanita mendakwa pegawai bank.

Katanya, dia amat terkejut selepas dimaklumkan perkara itu dan cuba menghubungi lelaki itu bagi mendapatkan penjelasan namun panggilan yang dibuat tidak dijawab.

“Dia memang kerap menggunakan akaun saya bagi tujuan traksaksi wang daripada pihak ketiga dan setiap kali itu juga saya akan mengeluarkan wang dan mendepositkan semula ke nombor akaun lain.

“Saya tidak syak apa-apa kerana saya ingatkan mungkin itu cara dia berniaga, tambahan kami sudah kenal rapat sejak kecil lagi, memang langsung tak terfikir dia gunakan saya,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat DAP Ipoh Timur dan ADUN Tebing Tinggi di Manhattan Business Centre, di sini hari ini.

Menurut Chong, dalam tempoh tujuh hari iaitu bermula 23 Mac lalu dia telah membantu rakannya itu membuat transaksi wang berjumlah RM24,000.

Katanya, semakan ke atas penyata kewangan bank mendapati, rata-rata wang yang dimasukkan ke akaunnya itu bagi tujuan pembelian kereta.

“Bank telah senarai hitam akaun saya. Apa yang saya takut dan bimbangkan adalah keselamatan saya dan keluarga.

“Hidup saya tidak tenteram lebih-lebih lagi bila diberitahu kes ini ada kaitan dengan penipuan sedangkan saya langsung tidak tahu,” katanya.

Chong yang merupakan peniaga dan sudah berkahwin serta memiliki seorang anak telah membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Puteh bagi menafikan dirinya terlibat kes berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya