PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan segala tindakan sepanjang tempoh darurat akan dibentang dan disoal jawab semasa sesi Parlimen kelak sebaik sahaja pelaksanaan perintah itu tamat.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tujuan pengisytiharaan Ordinan Darurat pada 11 Januari lalu adalah memastikan tindakan yang tangkas dan segera untuk menangani penularan wabak Covid-19 bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.
Katanya, langkah-langkah juga adalah bersifat sementara malah keutamaan tunggal sepanjang tempoh darurat adalah penggunaan segala dasar dan perundangan sedia ada bagi melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat.
“Mengambil kira keperluan peruntukan tambahan dalam keadaan yang sering berubah dan ketidaktentuan krisis Covid-19, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memerlukan fleksibiliti untuk meluluskan perbelanjaan tambahan bagi mengatasi krisis kesihatan dan memenuhi keperluan mendesak yang berbangkit.
“Bagaimanapun secara keseluruhan, sebarang perbelanjaan tambahan yang dibuat perlu mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada bagi menentukan disiplin dan prosedur yang perlu dipatuhi kerajaan. Ordinan ini tidak mengetepikan atau membatalkan had hutang berkanun mahupun keperluan baki akaun semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, dengan keperluan siaran perbelanjaan menerusi pewartaan, ini bermakna kerajaan adalah telus dan berusaha memastikan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan perbelanjaan khususnya dalam tempoh darurat ini.
Katanya, faktor utama dan terpenting adalah pematuhan garis panduan mengenai tadbir urus kewangan yang baik serta ketelusan perbelanjaan kerajaan di dalam tempoh ini.
“Ordinan ini akan menyokong perbelanjaan yang perlu diutamakan untuk memastikan negara terus kekal di landasan pemulihan dan pengukuhan ekonomi tahun ini.
“Ia juga hanya menyentuh perbelanjaan tambahan, dan tidak sekali-kali menyentuh berkenaan penyediaan belanjawan tahunan. Ini bermakna serupa seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2022 (iaitu belanjawan untuk tahun hadapan) di Parlimen, selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, tadbir urus yang digariskan akan memastikan bahawa peruntukan tambahan bagi tahun ini adalah perbelanjaan yang amat diperlukan.
Katanya, kedudukan kewangan kerajaan juga turut diambil kira oleh Kementerian Kewangan sebelum sebarang permohonan dipertimbangkan.
“Ordinan Darurat mengambil kira beberapa perkara seperti dalam tempoh penguatkuasaan darurat, seksyen mengenai peruntukan kewangan sementara membolehkan perbelanjaan tambahan dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan (Menteri Kewangan) atau Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi sesuatu negeri.
“Seksyen yang berkaitan dengan peruntukan kewangan sementara dalam ordinan darurat bukanlah satu perkara yang baharu. Urusan berkaitan pembentangan belanjawan tahunan dan belanjawan tambahan telah dilaksanakan semasa tempoh darurat dari 1969 hingga 1971,” katanya.
Tambahnya, pemasyhuran pindaan kepada ordinan ini juga dimuktamadkan selepas Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan keperluan tindakan segera bagi menjamin dan mengekalkan kesihatan awam, kelangsungan ekonomi dan ketenteraman awam.