PONTIAN: Kisah seorang kanak-kanak yang koma sejak 10 Februari lalu setelah pengsan di rumahnya yang mendapat perhatian ramai sebaik sahaja disiarkan akhbar ini, kini sudah sedar dan dibenarkan pulang ke rumah.
Bagaimanapun, tingkah laku Nursyazwa Qhuraisya Mohd. Shahrizan yang berusia sembilan tahun tidak ubah seperti seorang bayi dan hanya mengenali ibunya.
Nor Ismawati Sanusi, 39, berkata, anak keempatnya itu dibenarkan keluar Hospital Pontian sejak Isnin lalu setelah sedar daripada koma beberapa hari sebelum itu.
“Walaupun sedar tetapi dia tidak mampu bercakap seperti biasa, dia seperti seorang bayi.
“Nursyazwa juga tidak mampu mengenali orang di sekelilingnya kecuali saya. Mungkin kerana saya berada di sampingnya setiap masa,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Pada 27 Februari lalu, akhbar ini menyiarkan harapan sepasang suami isteri terhadap anak mereka yang berada di tahun tiga agar sedar daripada koma memandangkan sekolah akan dibuka beberapa hari kemudian.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Raya itu hanya terlantar di katil walaupun melalui pembedahan membuang lebihan cecair di otaknya pada 11 Februari lalu.
Menurut Nor Ismawati, Isnin ini dia akan membawa anaknya itu ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru bagi menjalani rawatan susulan dan dijangka Nursyazwa dibius seluruh anggota badannya ketika itu.
“Buat masa ini, Nursyazwa bersama empat lagi anak saya berada di rumah ibu mentua di Kampung Seri Bunian,” ujarnya.
Sementara itu, Nor Ismawati mengakui berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang memberi segala sumbangan termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu kepada mereka sekeluarga.
Selain Nur Syazwa, empat lagi anaknya ialah Nurul Syazwa Batrishah, 17, Nurul Syazwa Qumairah, 12, Mohd. Syafirul Amsyar, 11, dan Nur Syazwa Alisah, 7.
Suami Nor Ismawati, Mohd. Shahrizan Subohi, 40, pula kini telah setahun tidak dapat bekerja disebabkan mengalami masalah sakit saraf dan hanya melakukan kerja-kerja membaiki sofa di rumahnya. -UTUSAN ONLINE