Noor Hisham terima anugerah Ijazah Kehormat - Utusan Malaysia

Noor Hisham terima anugerah Ijazah Kehormat

NOOR Hisham Abdullah menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) oleh Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika Sidang Canselor, Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), UKM, Bangi semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke 48 di sini semalam.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir selaku Canselor UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar).

Noor Hisham yang merupakan Alumni Fakulti Perubatan UKM 1988 mengetuai senarai penerima anugerah pada majlis konvokesyen secara fizikal yang berlangsung sehingga 12 April ini.

Turut menerima penganugerahan pada majlis konvokesyen itu ialah Profesor Emeritus Dr. Soontak Lee (Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Kelestarian).

Soontak merupakan seorang saintis yang diiktiraf di peringkat global dan Profesor Emeritus di Universiti Yeungnam, Korea Selatan.

Tuanku Mukhriz bertitah, seluruh warga UKM seharusnya berbangga dengan sumbangan Noor Hisham yang disifatkan sebagai tokoh penting dalam memerangi Covid-19 di negara ini.

“Selain Noor Hisham, tokoh alumni UKM iaitu Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood juga adalah orang penting dalam menangani penularan wabak Covid-19,” titah baginda.

Sebelum ini, Noor Hisham turut menerima anugerah Alumni Tersohor 2019 oleh Fakulti Perubatan UKM pada 3 Julai tahun lalu atas sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan.

Dalam pada itu, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, seramai 6,166 graduan UKM akan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 yang diadakan secara fizikal.

Menurutnya, Mesyuarat Khas Majlis Konvokesyen UKM Ke-48 telah bersetuju untuk mengadakan majlis konvokesyen sebanyak 10 sidang secara bersemuka atau fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Keputusan ini dibuat bagi menyantuni permintaan para graduan yang menamatkan pengajian pada tahun lalu untuk bergraduasi secara bersemuka,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan Selangor berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan majlis dianjurkan dengan kapasiti 50 peratus daripada ruang, UKM mematuhi peraturan itu dengan hanya menggunakan kapasiti 25 peratus daripada ruang dewan yang boleh memuatkan 4,000 orang pada satu-satu masa.

Katanya, hanya bakal graduan dibenarkan untuk berada di dalam Dectar tanpa ditemani ibu, bapa atau keluarga.

“Para ibu, bapa dan keluarga yang mengiringi dan menghantar graduan tidak dibenarkan berada di sekitar Dectar sebaliknya digalakkan menunggu di luar kampus UKM sebelum masuk semula ke kampus apabila majlis selesai,” katanya.

Katanya, mereka masih boleh menyaksikan majlis konvokesyen secara langsung melalui saluran media sosial rasmi UKM di pautan https://www.facebook.com/UKMOfficial serta saluran YouTube, https://live.ukm.my. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya