PUTRAJAYA:”Terima kasih kerana berjaya menangani masalah wabak Covid-19. Anda benar-benar berani. Terima kasih atas semua yang anda lakukan untuk Malaysia.”
Itu antara ucapan pengguna media sosial sempena hari lahir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang ke-58 pada hari ini.
Laman Facebook Noor Hisham dibanjiri ucapan dan doa kepada beliau dan pasukan agar sentiasa dilindungi kerana sentiasa berada di hadapan dalam ‘peperangan’ melawan wabak itu.
Mereka menyifatkan Noor Hisham adalah hero negara kerana tidak pernah kenal erti penat dan lelah sejak penularan Covid-19 mula melanda negara.
Rata-rata warganet turut menyatakan kerinduan kemunculan beliau di kaca televisyen dalam membuat laporan harian perkembangan situasi Covid-19.
“Saya masih mengingati jasa Tan Sri dalam sumbangan memerangi Covid-19. Tan Sri orang yang paling sesuai menjadi pelapor untuk perkembangan semasa Covid-19,” tulis May Lim.
Laporan harian Covid-19 melalui sidang akhbar masih tidak diadakan sehingga hari ini selepas kali terakhir pada 4 Mac lalu, sebaliknya hanya dilaporkan melalui kenyataan media.
Bagaimanapun, Noor Hisham sentiasa mengemas kini perkembagan kes harian wabak itu melalui kedua-dua laman sosial Twitter dan Facebook nya pada setiap hari. – UTUSAN ONLINE