MELAKA: “Mana tahu ada rezeki kita emak, dapat kita berbuka makan siput sedut masak lemak berbuka nanti,” itulah kata-kata terakhir Faiz Rosni, 26, sebelum ditemukan maut ketika mencari siput belitung di Merlimau di sini, kelmarin.
Mangsa ditemukan pasukan bomba pada pukul 4.10 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dipercayai diserang asma di kawasan paya bakau di Kampung Air Tawar.
Ibunya, Norhaiyati Jamil, 43, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu keluar mencari siput belitung bersama bapa saudaranya kira-kira pukul 5 pagi dan sempat bersalaman dengannya selepas bersahur.
Jelasnya, anaknya itu memang menghidap asma sejak kecil tetapi ingin mencari siput belitung selepas melihat ibu dan adik-beradiknya gemar menikmati juadah siput masak lemak cili api yang dimasak dua hari lalu.
“Dua hari lepas kami enam sekeluarga berbuka siput masak lemak tetapi tak banyak, dua kilogram sahaja. Jadi berebut-rebutlah makan itu.
“Bila dia tengok, itu dia ikut pak cik saudara pergi mencari siput. Katanya, kalau ada rezeki kami sekeluarga dapatlah berbuka puasa makan siput masak lemak lagi,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di Taman Dato Aziz di sini, semalam.
Menurut Norhaiyati, dia juga hiba mengenangkan hasrat anaknya itu yang bersungguh-sungguh ingin membelikan keluarganya baju raya menggunakan duit i-Sinar, namun tidak kesampaian.
“Dua minggu lalu, dia ada luahkan mahu belikan baju raya menggunakan duit i-Sinar sebanyak RM500 katanya. Sampai ‘bergaduh’ adik-beradik, teruja nak pilih warna baju raya nanti, adiknya mahukan warna kuning.
“Tapi tak sangka pada pukul 3.45 petang (kelmarin), pak ciknya datang rumah bersama-sama polis beritahu Faiz hilang dan pihak berkuasa sedang mencarinya. Pada pukul 5 lebih dimaklumkan bomba menemukan mayatnya,” ujarnya.
Katanya, berita terseb meruntun jiwanya dan anak-anak yang lain selepas baru sahaja kehilangan suami tercinta, Rosni Ma’in, 48, pada Oktober lalu akibat kanser hati.
Ujarnya, jenazah anaknya itu dikebumikan bersebelahan pusara arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berangan Enam, Umbai.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Faisal Fuad berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.41 petang dan sepasukan lima pegawai kanan dan lapan anggota ke lokasi.
“Selepas dua jam mencari, kita menemukan mangsa di dalam kawasan berselut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE